Home » Pelancongan ‘halal’ berpotensi dibangunkan di Sabah: Ruslan
Berita Tempatan Politik

Pelancongan ‘halal’ berpotensi dibangunkan di Sabah: Ruslan

Ruslan berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah bagi memastikan konsep pelancongan itu dapat direalisasikan di negeri ini.

Kota Kinabalu: Pelancongan ‘halal’ berpotensi dibangunkan di Sabah memandangkan negeri ini mempunyai ekosistem yang kukuh untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim dari seluruh dunia.


Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Ruslan Muharam berkata, penerokaan pasaran pengguna Islam dapat meningkatkan lagi industri pelancongan di negeri ini.


Menurutnya, konsep pelancongan halal telah berkembang di seluruh dunia dan dilaksanakan di banyak negara seperti Thailand, Australia, Switzerland serta negara-negara tumpuan pelancongan lain.


“Malaysia diiktiraf sebagai negara yang mempunyai ekosistem ekonomi Islam paling maju di dunia bagi sektor pelancongan halal sejak 2014 hingga 2022 oleh DinarStandard yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

“Bahkan, kehadiran 5.32 juta pelancong Muslim di Malaysia pada tahun 2019 yang membelanjakan kira-kira RM16.72 bilion membuktikan potensi besar pasaran pelancongan halal.


“Dengan sejumlah 1.8 bilion penduduk Islam di seluruh dunia, menerokai pasaran pengguna Islam dilihat sebagai antara strategi utama untuk meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi di negeri ini.


“Justeru, kita tidak harus ketinggalan untuk meraih manfaat daripada potensi pelancongan halal ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan di Forum Malaysia Madani dan Program WAM2Care Peringkat Daerah Kudat, di sini, pada Jumaat.


Turut hadir ialah Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia), Datuk Sapawi Ahmad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sabdin Ibrahim.


Ruslan berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah bagi memastikan konsep pelancongan itu dapat direalisasikan di negeri ini.


Katanya, halal mempunyai maksud yang luas dan bukan saja melibatkan makanan tetapi juga merangkumi pelbagai aspek termasuk industri pelancongan yang secara dasarnya akan memenuhi keperluan syariah.


“Libatkan penyertaan semua pemain industri pelancongan di negeri ini dengan memberi kefahaman tentang potensi dan keperluan yang harus disediakan khususnya garis panduan pelancongan halal.


“Sabah sudah terkenal sebagai destinasi pelancongan dunia dan sewajarnya potensi ini dikembangkan dengan memperkasa pelancongan halal bagi menarik pelancong Muslim datang ke negeri ini, sekaligus meningkatkan ekonomi kita.


“Saya sendiri akan membantu dan bekerjasama dengan kementerian berkaitan untuk memastikan inisiatif ini dilaksanakan melalui kolaborasi dengan banyak pihak yang terlibat dengan pelancongan halal,” katanya.


Terdahulu, sebanyak RM1.5 juta berupa bantuan pendidikan dan dakwah di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) disampaikan kepada penerima bagi Zon Pantai Barat Utara di majlis itu.

— Iskandar Dzulkifli

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment