Home » Segulai Sejalai jadi cogan kata perpaduan untuk seluruh negara – Anwar
Berita Dalam Negara Politik

Segulai Sejalai jadi cogan kata perpaduan untuk seluruh negara – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis sambutan Gawai Dayak di sini, malam tadi:. Foto: Fiqri Razak (TVS)

KUCHING: Segulai Sejalai, frasa bahasa Iban di Sarawak yang bermaksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya beliau tertarik dengan frasa berkenaan yang menjadi motto dalam majlis sambutan Gawai Dayak peringkat kebangsaan yang dihadirinya di sini malam tadi.

“Maknanya mana-mana saya pergi, bila berbicara soal kesatuan, perpaduan dan bekerjasama, perkuatkan, maka saya akan sebut Segulai Sejalai,” katanya ketika berucap di majlis itu.

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib menjadi kenamaan utama dalam majlis itu yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta beberapa menteri persekutuan dan negeri.

Anwar berkata sudah tiba masanya rakyat khususnya di Semenanjung Malaysia untuk belajar dari Sarawak bagaimana perpaduan di antara pelbagai kaum dapat digunakan untuk membina negara.

Menurutnya Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sering menitahkan tentang perlunya semangat perpaduan dipupuk, dan tidak menimbulkan isu-isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

“Ini kenyataan sekarang. Sarawak dalam beberapa bidang adalah lebih hebat berbanding dengan negeri-negeri lain,” katanya.

— BERNAMA