Home » 1,079 bakal haji dari Sabah terpilih menunaikan ibadah haji
Berita Tempatan Politik

1,079 bakal haji dari Sabah terpilih menunaikan ibadah haji

Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di sini, hari ini.

Kota Kinabalu : Seramai 142 orang bakal haji dari negeri ini memulakan perjalanan ke Tanah Suci melalui transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari ini.

Bakal haji itu merupakan kumpulan pertama daripada 1,079 orang bakal haji dari Sabah yang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini berbanding 355 orang pada tahun lalu.

Penerbangan bagi kumpulan pertama itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 6.30 petang ini ke KLIA melalui penerbangan feeder.

Jemaah terbabit dijadual menyambung penerbangan ke Tanah Suci pada tengah malam ini dan dijangka tiba di Jeddah pada jam 4.10 pagi esok.



Majlis pelepasan kumpulan pertama jemaah haji Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag; Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Terdahulu, Tun Juhar ketika menyampaikan amanat ringkasnya mengingatkan jemaah haji dari negeri ini supaya sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik Sabah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Semua jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-dua negara yang sudah lama terjalin.

“Saya mengucapkan syabas kepada Tabung Haji dan agensi kerajaan serta swasta yang terbabit dalam operasi haji tahun ini. 

“Saya berbangga dengan persediaan yang dilakukan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam usaha mengekalkan kualiti perkhidmatan yang diberi kepada jemaah haji negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman, berkata pihaknya sentiasa mendoakan agar semua bakal jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadat haji dengan tenang dan sempurna serta pulang dengan haji yang makbrur.

“TH berharap semua jemaah dapat memberi tumpuan dalam melaksanakan semua rukun dan wajib haji seperti yang dipelajari ketika kursus anjuran Tabung Haji,” katanya.

Beliau juga menasihati semua bakal jemaah haji untuk sentiasa menjaga kesihatan bagi mengelak jangkitan COVID-19 yang masih boleh mengancam kesihatan, di samping keadaan cuaca yang panas di Tanah Suci.

Bagi musim haji kali ini, katanya sebanyak enam penerbangan domestik menerusi Malaysia Airlines akan membawa bakal haji Sabah yang berlepas bermula hari ini hingga 17 Jun ini.

Katanya, semua jemaah haji Sabah akan terbang ke KLIA terlebih dahulu bagi melalui proses Makkah Route iaitu pemeriksaan Imigresen dan Kastam Arab Saudi sebelum menaiki penerbangan sewa khas haji untuk ke Tanah Suci.

— EDITOR