Home » PRU15: Perlis umum bubar DUN berkuat kuasa hari ini
Berita Dalam Negara

PRU15: Perlis umum bubar DUN berkuat kuasa hari ini

AZLAN Man menunjukkan proklamasi pengisytiharan pembubaran DUN Perlis yang bermula hari ini selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. – Foto ASYRAF MUHAMMAD

KANGAR – Perlis menjadi antara negeri terawal membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berkuat kuasa hari ini selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Perkembangan itu diumumkan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Azlan, Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menerima mengadap beliau bersama Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari pada pukul 3 petang di Galeri Diraja Arau, dekat sini semalam.

“Pada sesi mengadap yang berlangsung hampir satu jam, Raja Perlis telah disembah maklum mengenai Persidangan Khas DUN Perlis yang telah meluluskan secara sebulat suara pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri berkaitan peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

“Selain itu, baginda juga telah berkenan dengan cadangan untuk membubarkan DUN Perlis ke-14 berkuat kuasa pada hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan berkata, pembubaran DUN akan membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan untuk memilih 15 ADUN Perlis serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Perlis menyerahkan segala urusan pilihan raya selanjutnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR),” katanya.

Dengan pembubaran itu, Azlan berkata, pentadbiran negeri Perlis akan diambil alih oleh kerajaan sementara, bagaimanapun Menteri Besar dan barisan Exco masih boleh menjalankan tugas dengan tidak melibatkan keputusan dasar.

KOSMO! ONLINE

About the author

Wa

Add Comment

Click here to post a comment