Home » Bekerja sebagai satu pasukan jayakan reformasi, ekonomi dirancang – Anwar
Berita Dalam Negara Politik

Bekerja sebagai satu pasukan jayakan reformasi, ekonomi dirancang – Anwar

Anwar berkata mesyuarat khas berkenaan diadakan bagi membincangkan hala tuju baharu (2023–2025) yang perlu dibentangkan dalam KSP RMK-12 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia Madani.

PETALING JAYA: Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama ahli jemaah menteri dan ketua-ketua setiausaha kementerian mengenai Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Putrajaya hari ini bersetuju supaya semua pihak  bergerak sebagai satu pasukan ke arah mempercepatkan pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata KSP RMK-12 perlu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat susulan perubahan dan cabaran sosioekonomi semasa.

“(Oleh itu) Input-input daripada semua kementerian akan diambil kira dalam penyediaan KSP RMK-12 ini.

“Sehubungan itu, semua kementerian perlu lebih serius serta bertindak dengan lebih proaktif, agresif dan berani bagi menyelesaikan isu-isu pelaksanaan dasar, terutamanya berkaitan rakyat mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya menerusi catatan di Facebook semalam.

Anwar berkata mesyuarat khas berkenaan diadakan bagi membincangkan hala tuju baharu (2023–2025) yang perlu dibentangkan dalam KSP RMK-12 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia Madani.

“KSP RMK-12 merupakan dokumen dasar yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai-nilai murni,” katanya.

-– BERNAMA