Home » JANS laksana penstabilan bekalan air di tiga daerah-Shahelmey 
Berita Tempatan Politik

JANS laksana penstabilan bekalan air di tiga daerah-Shahelmey 

Shahelmey berharap agar pelaksanaan penstabilan bekalan air di tiga daerah berkenaan akan dapat membantu menstabilkan penyaluran bekalan air.

Kota Belud : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) kini dalam proses melaksanakan inisiatif penstabilan bekalan air di tiga buah daerah yang terkesan dengan masalah berkenaan.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, antara daerah terlibat termasuklah Tuaran, Kota Kinabalu dan Putatan.

“Untuk makluman, bagi kawasan Tuaran, Kota Kinabalu termasuk Putatan, pihak Jabatan Air Negeri Sabah sedang melakukan penstabilan bekalan air dan ini akan mengambil masa dalam tempoh satu hingga tiga bulan dari sekarang.

“Alhamdulillah, selepas dua minggu telah ada perkembangan yang positif tentang agihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terlibat.’





Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan lawatan kerja ke daerah Kota Belud di sini kelmarin.Turut hadir dalam lawatan tersebut, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik dan Pembantu Menteri Belia Dan Sukan Datuk Fairuz Renddan

Terdahulu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri mengadakan lawatan ke tapak projek penyambungan paip ke Kampung Labuan Sempadan dan membuat pemeriksaan masalah air di Kampung Kota Peladok.

Sejurus selepas itu, beliau mengadakan lawatan ke Jalan Rampayan Laut, Rampayan Laut dan Projek Pan Borneo dan melawat tapak projek naik taraf jalan raya Dudar Taburon Mendawang.

Shahelmey berharap agar pelaksanaan penstabilan bekalan air di tiga daerah berkenaan akan dapat membantu menstabilkan penyaluran bekalan air.

“Penstabilan itu diharap dapat mencapai objektif sementara kita menanti keputusan untuk perancangan jangka panjang bekalan air di Pantai Barat sama ada melalui empangan di Papar atau melalui empangan Ulu Padas,” katanya. 

— EDITOR