Home » Seminar khas anjuran KKTP menekankan Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis akan diadakan – Joachim
Berita Tempatan Politik

Seminar khas anjuran KKTP menekankan Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis akan diadakan – Joachim

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menyampaikan watikah pelantikan kepada ahli majlis daerah Ranau di Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Ranau Sesi 2023/2025 di Kundasang di sini.

RANAU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) akan mengadakan satu seminar khas dalam usaha memantapkan peranan serta tanggungjawab ahli majlis.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata seminar khas bertajuk ‘Peranan dan Tanggungjawab Ahli Majlis’ akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu 22 Jun depan.

“Seminar akan disertai semua ahli majlis dan pegawai eksekutif seluruh Sabah,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Daerah Ranau Sesi 2023/2025 di Kundasang di sini.

Turut hadir Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Datuk Mohd Hamsan Awang Supain, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin, ADUN Paginatan Datuk Abidin Madingkir, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Jamili Nais, Jupirin Ruhimin yang mewakili Menteri Kewangan Sabah yang juga ADUN Karanaan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Pegawai Daerah Ranau Merangkap Pengerusi Majlis Daerah Ranau Jumain Abdul Ghani dan Pegawai Eksekutif Elmer Endra M. Sator. 

Upacara angkat sumpah ini membabitkan 18 ahli majlis daerah yang baharu dilantik terdiri daripada wakil kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ranau, ahli perniagaan, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan pesara kerajaan. 

Terdahulu, Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata ahli majlis disaran agar mencari kaedah bagi mengutip lebih banyak cukai bagi membantu Majlis Daerah meningkatkan pembangunan di Ranau seterusnya menjadikan Ranau lebih maju ke hadapan.

“Saya menegaskan pelantikan sebagai ahli majlis bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga satu tanggungjawab besar bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merancang, menggubal polisi dan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Salah satu tugas ahli majlis adalah memastikan undang-undang kecil PBT ini dapat dijadikan asas dan panduan oleh pihak majlis dalam menyelesaikan sebarang masalah.

“Ahli majlis juga perlu memainkan peranan lebih kreatif di dalam perancangan dan pembangunan PBT, sehubungan itu, ambilah bahagian secara bersemangat dan konsisten dalam aktiviti PBT terutamanya dalam mesyuarat jawatankuasa,” katanya.

Bagi memastikan Majlis Daerah Ranau menjalankan tanggungjawab perkhidmatan dan pentadbiran secara berintegriti, Joachim turut menyeru ahli majlis yang dilantik agar mengutarakan idea yang berimpak tinggi di dalam pengubalan dasar di peringkat daerah.

“Idea ini penting untuk memastikan sistem tersebut dapat merealisasikan aspirasi pembangunan pekan baharu di Ranau,” katanya sambil menambah ahli majlis perlu berganding bahu bersama dengan pegawai eksekutif dan pengerusi Majlis Daerah Ranau bagi membolehkan Ranau mencapai visi dan misi disasarkan.

Tambahnya bagi pengusaha rumah inap desa, pihak kementerian bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk mencari satu kaedah bagi membolehkan pengusaha rumah inap desa mendapat Sijil Perakuan (OC) untuk mendapatkan lesen perniagaan dan tujuan lain agar kerja kutipan cukai serta perkadaran dapat dilaksanakan oleh PBT dengan lancar. 

Joachim juga berharap agar semua ahli majlis yang baharu dilantik dapat melaksanakan amanah kerajaan dan masyarakat Ranau dengan penuh tanggungjawab dan komitmen.

–Vivi Olviana Najurus