Home » Kabinet negeri akan buat keputusan, cadangan had tempoh penyewaan rumah PPR- Hajiji
Berita Tempatan Politik

Kabinet negeri akan buat keputusan, cadangan had tempoh penyewaan rumah PPR- Hajiji

Hajiji (tiga kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil peserta Persidangan MPPS pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Kabinet negeri akan membuat keputusan minggu depan berhubung cadangan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) meminta penyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) lebih 10 tahun mengosongkan rumah mereka. 

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, isu dan cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet Negeri untuk dibincang dengan teliti agar satu keputusan dapat diambil berhubung isu yang berbangkit. 

“Kita akan membawa isu ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri minggu depan. Jadi kita akan buat keputusan. Walaupun ada teguran daripada pihak Jabatan Audit berhubung perkara ini, bagi saya kita berpendirian bahawa kita tidak boleh berbuat demikian(meminta penyewa lebih 10 tahun mengosongkan rumah). 

“Ini kerana mereka yang tinggal di rumah sewa PPR adalah mereka yang masih memerlukan tempat tinggal dan sebagainya…Kita tunggu keputusan Kabinet Negeri minggu depan tetapi secara prinsipnya kita akan pastikan nasib mereka terbela,” katanya kepada media selepas merasmikan penutupan Persidangan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) di sini pada Khamis. 

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong. 

Hajiji mengulas notis yang dikeluarkan kepada penyewa yang sudah tinggal lebih 10 tahun di PPR untuk mengosongkan kediaman berikutan teguran Jabatan Audit Negara berhubung ketidakpatuhan had tempoh menyewa yang ditetapkan.

Notis terbabit dikeluarkan LPPB untuk penyewa melebihi 10 tahun di beberapa PPR di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri bersetuju mewujudkan RumahTransit Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk golongan pelajar yang mencari kerja selepas tamat pengajian. 

Katanya, cadangan itu akan dipanjangkan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan supaya dapat diwujudkan di PPR yang sedang dalam pembinaan ketika ini. 

“Kita banyak lagi PPR yang belum siap seperti di Inanam. Jadi sebagai permulaan, kita maklumkan kementerian supaya menyediakan 50 unit contohnya daripada 1,000unit dikhaskan untuk rumah transit ini dengan bayaran minimum,” katanya.

— TAMAT