DOSM menjelaskan penurunan direkodkan dalam kesemua komponen IP yang menghasilkan prestasi yang sederhana kecuali bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan menunjukkan peningkatan. – Gambar FB DOSM
KUALA LUMPUR: Indeks Pelopor (IP) Malaysia terus menyusut kepada negatif 2.7 peratus, mencatatkan 108.4 mata pada April 2023 berbanding 111.4 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP merupakan alat yang digunakan untuk menjangkakan kenaikan dan penurunan ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.
DOSM menjelaskan, penurunan direkodkan dalam kesemua komponen IP yang menghasilkan prestasi yang sederhana kecuali bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan menunjukkan peningkatan.
Jabatan itu juga memaklumkan bahawa kadar pertumbuhan IP terlicin April kekal di bawah aliran 100.0 mata selama tujuh bulan berturut-turut.
Ini mencerminkan prospek ekonomi Malaysia yang mencabar dalam jangka masa terdekat dengan keadaan ekonomi global menokok kepada cabaran tersebut, tambahnya.
DOSM menambah, dari segi keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan 121.8 mata pada April 2023, meningkat 2.2 peratus berbanding 119.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit (9.5 peratus) menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan ini, menurutnya.
DOSM juga memberitahu bahawa IS turun 0.1 peratus bulan ke bulan, berikutan prestasi Indeks Pengeluaran Perindustrian (1.0 peratus) yang tidak memberangsangkan. – BERNAMA
— AWANI
Add Comment