Home » KKTP, LPPB bentuk jawatankuasa kerja, laksana pemutihan PPR – Joachim
Berita Tempatan Politik

KKTP, LPPB bentuk jawatankuasa kerja, laksana pemutihan PPR – Joachim

Joachim berkata tindakan ini juga bagi mengelakkan penama mencari keuntungan hasil daripada penyewaan rumah PPR termasuklah amalan ‘sewa-atas-sewa’.

KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan membentuk satu jawatankuasa kerja bagi melaksanakan langkah-langkah pemutihan di kawasan Rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata pemutihan PPR dibawah kendalian LPPB adalah bagi menentu serta mengesahkan status kelayakan penyewa bagi memastikan hanya yang layak dan benar-benar memerlukan berpeluang menduduki rumah PPR ini.

Katanya tindakan ini juga bagi mengelakkan penama mencari keuntungan hasil daripada penyewaan rumah PPR termasuklah amalan ‘sewa-atas-sewa’.

“Jemaah Menteri Sabah dalam mesyuarat mengambil maklum mengenai Garis Panduan Penyewaan Rumah PPR yang dikeluarkan KKTP dan sudah berkuatkuasa sejak 2012 dengan tempoh maksima yang dibenarkan bagi setiap keluarga menyewa di PPR adalah selama sepuluh tahun berdasarkan isu surat pekeliling mengenai pengosongan (PPR).

“Penyewa yang masih layak dan ingin meneruskan penyewaan selepas tempoh 10 tahun bagaimanapun masih boleh dipertimbangkan untuk pelanjutan dengan persetujuan daripada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata berdasarkan surat pekeliling daripada LPPB bertarikh 19 Jun lalu itu mengarahkan para penyewa yang melebihi tempoh 10 tahun untuk mengosongkan rumah PPR mereka.

Bagaimanapun katanya arahan itu hanya terpakai kepada para penyewa yang sudah hilang kelayakan untuk terus menduduki rumah PPR tersebut. 

“Pihak Kementerian dan LPPB mengesali segala kesulitan yang timbul daripada ketidaktepatan kandungan surat pekeliling tersebut Mengikut Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah Untuk Disewakan Negeri Sabah yang sudah berkuatkuasa sejak 2018.

“Antara kriteria yang boleh menyebabkan seseorang penyewa kehilangan kelayakan untuk terus menyewa di rumah PPR kendalian LPPB ini ialah menduduki rumah tersebut secara sewa atas sewa dan pendapatan melebihi RM3,000.

“Penyewa atau pasangan sudah mempunyai rumah sendiri serta penyewa yang hanya menjadikan rumah sebagai persinggahan atau stor dan inap desa atau mempunyai tunggakan sewa juga boleh kehilangan kelayakan,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya dan LPPB juga menerima saranan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor untuk memperuntukkan sebahagian rumah PPR kendalian LPPB kepada graduan baharu sebagai tempat tinggal sementara atau rumah transit sementara berikhtiar mendapat pekerjaan dan mampu menyewa atau memiliki rumah kediaman mereka sendiri kelak.

–Vivi Olviana Najurus