Home » Pemimpin politik peringkat daerah perlu bersedia terima kritikan – Masiung
Berita Tempatan Politik

Pemimpin politik peringkat daerah perlu bersedia terima kritikan – Masiung

AMANAT: Masiung ketika menyampaikan amanat kepada tiga Sayap Gagasan Rakyat Kuamut pada majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Pemimpin politik di peringkat daerah perlu bersedia menerima cabaran dalam segala bentuk termasuk fitnah serta kritikan.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masiung Banah berkata, cabaran seumpamanya adalah perkara biasa kepada orang politik.


“Inilah seni yang harus dilalui orang politik, kritikan dan tuduhan bersifat fitnah merupakan perkara yang menguji kesabaran kita apabila memasuki arena politik,” katanya ketika di Majlis Apresiasi Penyampaian Watikah Perlantikan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat Kuamut di kediamannya di sini, semalam.


Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, tiga Sayap utama parti berkenaan perlu merumuskan satu agenda baharu, bukan sahaja untuk parti tetapi juga kepada semua lapisan masyarakat.


Beliau mahu tiga Sayap berkenaan tidak sekadar berperanan memperkuatkan parti di peringkat daerah tetapi juga perlu menjana kekuatan di negeri ini secara keseluruhan.


“Tidak salah kita bercita-cita tinggi dalam politik, tapi harus ingat…politik ini keras, kerana nanti cita-cita itu boleh mengundang susut nilai kita sebagai pemimpin,” katanya. 


Dalam majlis berkenaan, Pergerakan Wanita diketuai Jalilah Apiang, Ketua Pemuda Willy Frous Darinsok dan Beliawanis Siti Khalidah Mahalil. 

— Yap Siong Han