Home » Isu Shafie saman 10 ADUN keluar parti tidak gugat kerajaan negeri – Nizam
Berita Tempatan Politik

Isu Shafie saman 10 ADUN keluar parti tidak gugat kerajaan negeri – Nizam

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri hanya mahu fokus membangunkan Sabah dan memperbaiki segala kelemahan semasa pemerintahan WARISAN yang lalu.

TAWAU: Kenyataan Presiden Warisan (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang mahu mengambil tindakan saman 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang keluar parti itu tidak menggugat kerajaan negeri ketika ini.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, negara ini mempunyai kebebasan dalam berpolitik dan mempunyai undang-undang demokrasi.

Katanya, isu itu biarlah diserahkan kepada undang-undang sedia ada dan dia (Shafie) boleh sahaja memfailkan tindakan sekiranya mempunyai asas.

“Kita sedia maklum, memang ada diantara wakil rakyat berkenaan sudah menyertai Gagasan Rakyat dan mereka semua mahukan sebuah parti yang ikhlas membela rakyat di negeri ini.

“Saya berharap pemimpin dan rakyat tidak menjadikan ia sebagai modal politik, sebaliknya menunggu keputusan mahkamah,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Shafie, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kerajaan negeri hanya mahu fokus membangunkan Sabah dan memperbaiki segala kelemahan semasa pemerintahan WARISAN yang lalu.

“Kita mahu melaksanakan agenda yang sudah dirancang bagi memastikan Sabah menjadi negeri yang maju, bukannya antara tercorot seperti ketika pemerintahan WARISAN,” katanya.

Terdahulu, Shafie pada 20 Julai baru-baru ini mengeluarkan kenyataan akan memfailkan tindakan saman terhadap 10 bekas ADUN yang melanggar syarat perjanjian semasa menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.

10 ADUN berkenaan adalah Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau), Rina Jainal (Kukusan), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari (Petagas), Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi), Ben Chong (Tanjung Kapor) dan George Hiew (Karamunting).

— Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment