Home » Kegiatan judi atas talian di Kg Karamunting Baru tumpas
Berita Tempatan Politik

Kegiatan judi atas talian di Kg Karamunting Baru tumpas

TINJAU: Chew (kanan) ketika meninjau pondok kecil yang dipercayai dijadikan lokasi judi atas talian.

SANDAKAN: Satu kegiatan judi atas talian di Kampung Karamunting Baru berjaya diselesaikan pihak berkuasa selepas kegiatan itu dibongkar oleh masyarakat setempat.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Karamunting Datuk Chew Kok Woh berkata, selepas menerima aduan daripada orang ramai, beliau segera turun padang membuat tinjauan dan kemudian membuat laporan kegiatan itu kepada pihak polis dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

“Dalam tinjauan itu, saya difahamkan penduduk kampung bahawa pondok kecil berukuran 10×20 kaki per segi bukan dimiliki mereka.

“Difahamkan, kegiatan judi haram secara atas talian beroperasi dari 10 malam sehingga 10 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pondok itu juga membuat penyambungan haram untuk mendapatkan bekalan elektrik.

“Kami masih mencari pemilik pondok itu yang dipercayai membeli kawasan tanah itu dengan harga RM120,000 dari seorang penduduk kampung yang bukan pemilik tanah berkenaan.

“Orang kampung turut berterima kasih kepada pihak polis, MPS dan Unit PPM Karamunting kerana segera membantu menyelesaikan perkara itu,” katanya.

Chew turut berkata, penduduk kampung kecewa terhadap wakil rakyat kawasan berkenaan yang tidak mengambil peduli terhadap aduan yang dibuat.

Menurutnya, pondok terbabit kemudian telah dirobohkan dan isu penyambungan haram bekalan elektrik juga sudah diselesaikan.

— Yap Siong Han