Home » Contohi kepimpinan Hajiji, bersatu tanpa melihat perbezaan: Annabell
Berita Tempatan Politik

Contohi kepimpinan Hajiji, bersatu tanpa melihat perbezaan: Annabell

Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Annabell Perian kepimpinan Hajiji sebagai ketua pemimpin di Sabah adalah tepat dan sesuai pada masanya.

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Annabell Perian menyeru semua pihak untuk mencontohi kepimpinan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian dan kesepakatan.

Katanya, kepimpinan Hajiji adalah satu teladan yang perlu diikuti oleh semua pihak dengan mengutamakan prinsip bersatu teguh bercerai roboh.

“Kita lihat dari awal sejak beliau menjadi Ketua Menteri, dari segi keperibadiannya, sopan santun kepada para pemimpin lain dan rakyat serta budi pekerti beliau, semuanya amat indah.

“Kenapa saya katakan indah, hal ini jelas kerana beliau adalah seorang karisma pemimpin yang mengutamakan kebersamaan dalam semua hal, semua perkara dan tidak membelakangkan mana-mana pihak,” katanya.

Menurut Annabell, kepimpinan Hajiji sebagai ketua pemimpin di Sabah adalah tepat dan sesuai pada masanya.

“Beliau mengumpulkan parti-parti kompenen lain untuk bersatu dan bersama bergerak membawa suara rakyat dan hala tuju negeri Sabah.

“Usaha ini pastinya tidak mudah dan memerlukan kesabaran serta toleransi yang tinggi diantara satu sama lain.

“Kita lihat sendiri bagaimana kebersamaan dan keakraban semua kompenen parti yang bersama, kini bernaung dalam satu payung, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ,” katanya lagi.

Tambah Annabell lagi, usaha bagi membawa hala tuju Sabah Maju Jaya juga adalah usaha yang pada asasnya adalah daripada rakyat, untuk dikembalikan kepada rakyat.

“Dalam jata negeri kita, ada tertera sebuah lambang yang menjadi jati diri kita sebagai rakyat Sabah, menjunjung tinggi kedaulatan negeri dan berusaha ke arah kejayaan negeri kita.

“Sabah Maju Jaya, ini adalah daripada kita semua, daripada akar umbi, untuk dibawa direalisasikan oleh wakil yang kita pilih, iaitu pemimpin di kawasan kita, kerajaan kita di Sabah hari ini.

“Ketua Menteri kita hari ini sudah membuktikan bahawa beliau sentiasa bekerja untuk membawa matlamat rakyat dan suara semua di peringkat akar umbi, untuk menjayakan Sabah Maju Jaya semaksimumnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Annabell juga menyeru semua pihak untuk melihat sudut positif dan bersifat terbuka untuk berkongsi dan memberikan buah fikiran kepada para pemimpin dalam usaha untuk membangunkan negeri Sabah.

Katanya, negeri Sabah adalah sebuah negeri merdeka yang bersatu dan dihuni oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku, bangsa dan agama, perlu bersama dengan melihat persamaan tanpa menjadikan perbezaan sebagai isu dan penghalang kepada penyatuan untuk kejayaan Sabah.

“Negeri Sabah adalah contoh terbaik untuk perpaduan dan ini diakui sendiri oleh rakan-rakan serta saudara kita dari luar negeri Sabah, bahkan luar negara juga.

“Kepelbagaian kita adalah keunikan kita, keistimewaan kita dan kekayaan kita serta aset kita yang tidak mungki boleh digantikan dengan nilai wang ringgit.

“Ketua Menteri kita membawa kebersamaan dalam kabinet Kerajaan Negeri kita hari ini, barisan kepimpinan pelbagai bangsa dan agama, bersama bekerja untuk memajukan Sabah dan merealisasikan denyut nadi rakyat.

“Dengan fokus perpaduan, beliau bersama kita dan saya amat berharap semua rakyat Sabah akan terus mendukung usaha Ketua Menteri kita, ayahanda kita yang berkorban masa, tenaga, keringat dan kesihatan beliau, untuk memastikan segala perancangan dan fokus Kerajaan Negeri untuk rakyat, mampu dilaksanakan sebaiknya,” jelasnya lagi.

TAMAT