Home » Sabah teguh di posisi dan terus bergerak maju kerana Hajiji tahu arah yang dituju
Berita Tempatan Politik Sudut Pandangan

Sabah teguh di posisi dan terus bergerak maju kerana Hajiji tahu arah yang dituju

Bernaung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengabdikan perjuangannya untuk mencapai hala yang dituju tanpa jemu dan keliru, biarpun diasak bermacam gugatan dan semburan kritikan, baik dari depan mahupun sisi belakang.

JAM 5 petang Jumaat lepas, hujan mencurah lebat. Dari tingkat empat pejabat, saya menjenguk ke luar jendela kaca. Terlihat kenderaan sesak bertali arus. Berinsut-insut bagaikan semut.

Jalan Tun Fuad Stephens pemisah pejabat saya dengan Wisma Merdeka, merupakan antara jalur utama laluan di Kota Kinabalu, ibu negeri yang kini pesat membangun.

Sesaknya jalan itu bukan ada kemalangan. Tapi kerana peningkatan jumlah kenderaan, seiring meningkatnya status ekonomi negeri dan berkembangnya pendapatan perkapita penduduk.

Di celah kesesakan itu, terlihat sejumlah pacuan empat roda mewah dan kenderaan import pelbagai jenama, menjalar di atas jalan tar yang basah tapi mulus. Lambang sebuah kemakmuran.

Demikian senario setiap petang menjelang senja di Kota Kinabalu, pusat pentadbiran lestari dan jantung ekonomi negeri yang berpasak identiti sendiri.

Berpandu hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), pimpinan negeri terus komited menyongsong perjuangan membawa negeri bergerak maju mara ke hadapan.

Bernaung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengabdikan perjuangannya untuk mencapai hala yang dituju tanpa jemu dan keliru, biarpun diasak bermacam gugatan dan semburan kritikan, baik dari depan mahupun sisi belakang.

Dalam usia kerajaan baharu dua tahun 10 bulan, Hajiji telah berjaya membawa perubahan signifikan dari segi pertumbuhan menerusi anjakan paradigma dalam mengemudi pimpinan kerajaan. Prinsipnya tegas. Ideanya bernas. Fikirannya tuntas. Nawaitunya ikhlas.

Di sebalik bermacam konotasi nakal berkaitan ekonomi, ternyata data jelas membuktikan fakta.

Justeru, sebagai seorang sarjana ekonomi, Hajiji fokus menentukan pertumbuhan mampan secara berterusan kerana  baginya, ia menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri.

Hasilnya, dua tahun berturutan, kerajaan mencipta rekod tersendiri. Sabah mencatat hasil tertinggi dalam sejarah, iaitu RM5.49 bilion (2021) dan kemudian meningkat lagi kepada RM6.96 bilion (2022).

Selain itu, jumlah pelaburan asing juga terus membugar di tanah negeri yang subur ini.

Pada 28 Mac 2023 lepas, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Dewan Negara bahawa Negeri Sabah mencatatkan pelaburan sebanyak RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi pada tahun 2022.

Menurutnya, ia melibatkan 89 projek dan bakal menjana 4,566 jumlah peluang pekerjaan.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan itu, sebanyak RM9.2 bilion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM2.3 bilion adalah pelaburan langsung domestik.

Dalam mengemudi pentadbiran negeri, Hajiji telah membulatkan tekad menumpahkan sepenuh kudratnya demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.

Dari ruang pejabatnya di aras 32 Menara Kinabalu, Hajiji memerhati dan memantau pelaksanaan setiap agenda pembangunan yang dirancangkan.

Ketegasan Hajiji bekerja tidak siapa menidakkanya.

Di sebalik senyuman yang sering terukir di wajahnya, beliau sebenarnya tidak berkompromi soal urusan kerja untuk rakyat jelata — baik kepada pimpinan politik mahupun penjawat awam. Baginya, tugas dan tanggungjawab yang digalas bukan untuk bermalas-malas.

Sementara pemimpin politik diminta menyediakan laporan Prestasi Petunjuk Utama (KPI) kepadanya, Hajiji juga sudah berulang kali memberi amaran kepada penjawat awam untuk melaksana tugas sehabis baik demi kesejahteraan rakyat.

Ketegasan itu pernah diungkapnya pada program `Seiring Sejalan’ tidak lama dulu, apabila berkata: “Saya tegaskan, ‘I am going to be tough’ (saya akan jadi lebih keras) dengan semua pegawai daerah. Jangan marah saya sebab macam-macam laporan kita terima (projek tidak siap).”

Natijahnya, Sabah telah melakar banyak kemajuan signifikan dalam tempoh sesingkat dua tahun 10 bulan ini.

Impian Hajiji membangunkan Sabah tentunya seindah pemandangan Teluk Likas yang terlihat dari ruang kerjanya di aras 32 Menara Kinabalu.

Harapannya juga luas untuk memakmurkan rakyat, seluas Teluk Mengkabong yang cantik berlatar belakang Gunung Kinabalu, nun di kejauhan sana.

Kini Sabah teguh di posisi dan terus bergerak maju kerana Hajiji tahu arah yang dituju.

*Lichong Angkui merupakan seorang wartawan veteran.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pemerhatian beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.