Home » Digugurkan dari UMNO, Shahelmey terima secara hati terbuka
Berita Tempatan Politik

Digugurkan dari UMNO, Shahelmey terima secara hati terbuka

Shahelmey ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya menerima secara hati terbuka bahawa keahlian beliau dalam UMNO sudah digugurkan secara automatik.

Beliau menjelaskan akan terus bekerja demi rakyat sehingga 2025.

“Saya menerima perkara ini dengan hati terbuka dan saya akan terus bekerja sehingga 2025 dan akan lihat apa hala tuju selepas itu,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah di sini, hari ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Sidang Kemuncak Koperasi Belia Asia Pasifik 4.0 pada Ahad menjelaskan, segala isu yang timbul akibat penggantungan Shahelmey daripada UMNO selama enam tahun akan diselesaikan secara dalaman.

Zahid berkata, UMNO pada masa ini berpendirian bahawa, Shahelmey merupakan Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat yang mewakili Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, Shahelmey ketika ditanya sama ada akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan, beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata, tiada RUU baharu daripada kementeriannya.

Bagaimanapun katanya, kementerian lain akan mengusulkan RUU untuk diluluskan pada sidang DUN nanti.

“Sidang DUN kali ini akan menumpukan kepada belanjawan tambahan dan RUU,” katanya.

Sementara itu, beliau juga memberikan jaminan bahawa bekalan air di bandaraya ini semakin pulih.

Shahelmey berkata, pihaknya telah mengawal penghantaran lori air dan menghentikan pada waktu malam.

“Ini bagi membolehkan tekanan air kembali seperti biasa untuk mengisi tangki takungan air bagi tujuan membekalkan air secara apa yang direka bentuk.

“Saya mendapat maklum balas usaha itu semakin stabil, bagaimanapun ada beberapa kawasan masih mengalami masalah air disebabkan paip pecah dan sebagainya,” katanya.

— Yap Siong Han