Home » Peristiwa Maal Hijrah sentiasa releven panduan umat Islam – Rina
Berita Tempatan Politik

Peristiwa Maal Hijrah sentiasa releven panduan umat Islam – Rina

TOKOH: Rina (tengah) menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Tawau kepada Ahmad Bahrom.

TAWAU: Peristiwa Maal Hijrah sentiasa releven sebagai panduan umat Islam ke arah memastikan kelangsungan kesejahteraan, keamanan dan kemajuan negeri serta negara secara keseluruhan dapat dikekalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Haji Jainal berkata, peristiwa Maal Hijrah itu bukan hanya sekadar bermaksud perpindahan tetapi ia juga salah satu strategi bertujuan mengembangkan penyebaran agama Islam.


Katanya, peristiwa hijrah itu juga memberi panduan yang jelas kepada umat Islam mengenai erti sebuah pengorbanan dan kejayaan yang terpahat dalam liputan sejarah.
“Hijrah Rasulullah SAW bukanlah semata-mata membabitkan proses perpindahan dari suatu tempat ke tempat yang lain.


“Namun, ia juga boleh dijadikan iktibar sebagai satu proses perubahan dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik,”katanya.


Beliau yang juga Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan Sabah berkata ketika berucap merasmikan Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah 1445H/2023 masihi Peringkat Perbandaran Tawau di Masjid Al-Khauthar di sini, hari ini.

Katanya, bagi menghayati konsep penghijrahan, umat Islam dituntut melakukan pengorbanan untuk berhijrah demi mengharapkan keredaan Allah SWT serta kehidupan yang lebih baik di dunia dan di akhirat kelak.


Rina berkata, perubahan diri menjadi lebih baik adalah satu penghijrahan yang sangat dituntut dalam Islam sejak dari dahulu lagi.
“Bagi merealisasikan impian berkenaan, kita hendaklah memiliki keazaman yang tinggi, disiplin dan istiqamah dalam melakukan perubahan.  


“Selain itu, kita perlu sentiasa bermuhasabah diri dan tanamkan sifat keinginan mahu berubah dengan niat ikhlas serta lakukannya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.


Terdahulu, mantan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Ahmad Bahrom Abu Bakar Titingan dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Tawau pada tahun ini.


Ahmad Bahrom yang merupakan abang kepada Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, juga pernah menjadi ADUN Balung.


Turut hadir, Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said dan Pegawai Tadbir JHEAINS Tawau, Kahar Sundu.

— Hamzah Sanudin