Home » Ahli Parti Bukan Sekadar Pelengkap – Maijol
Berita Tempatan Politik

Ahli Parti Bukan Sekadar Pelengkap – Maijol

Maijol menerima borang keahlian dari Ketua Cawangan Tonsom Puka, Juamy Gomih

BANDAU – Cawangan berperanan penting dalam perlembagaan parti dan struktur parti. Sehubungan itu, Ketua Cawangan dan ahli cawanganlah yang akan menggerakkan jentera parti di peringkat akar umbi. Demikian ucapan perasmian oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau, Datuk Maijol Mahap semasa merasmikan Cawangan Bintasan Laut yang diketuai oleh Awang Oloh kelmarin.

Menurut beliau, ahli parti bukan sekadar pelengkap, mereka adalah sumber kekuatan dan mempengaruhi pembentukan dasar parti.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen, suara ahli parti dan rakyat jelata menentukan kerajaan dan dasar yang baik untuk rakyat.

“Ahli cawangan boleh mengutarakan usul semasa Mesyuarat Tahunan Cawangan dan Bahagian, seterusnya usul tersebut akan dibincangkan pada Persidangan Agung Tahunan kelak. Sekiranya usul tersebut diterima ianya menjadi pendirian parti untuk diperjuangkan”, kata Maijol.

Pada sebelah petang,  Maijol merasmikan Majlis Ramah Mesra Cawangan Tonsom Puka yang diketuai oleh Juamy Gomih. Dalam ucapan beliau, Datuk Maijol menyatakan bahawa ekonomi negeri Sabah semakin kukuh dengan pendapatan mencapai RM7 bilion setahun. Kejayaan ini berkat kebijaksanaan kerajaan di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang mencari sumber dana baru bagi negeri. Kolaborasi komersial dengan Petronas selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 membawa hasil pendapatan yang lumayan.

“Cara memeteraikan perjanjian komersial berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Malaysia terbukti berkesan untuk membawa hasil pendapatan tambahan kepada Sabah, selain dari usaha dan amalan “bisik-bisik” yang sering dilakukan dengan Kuala Lumpur”, kata Maijol yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat.

Turut hadir dalam kedua-dua program tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian merangkap Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Sharif Kadah Sharif Osman, Naib Ketua Bahagian Denson Saidi, Setiausaha Bahagian Lagason Gampong, Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian Bandau serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

— TAMAT