Home » “Tak akan (minta maaf)……” – Sanusi komen tuntutan Vincent Tan
Berita Dalam Negara Politik

“Tak akan (minta maaf)……” – Sanusi komen tuntutan Vincent Tan

Sanusi berkata demikian ketika mengulas mengenai tuntutan permohonan maaf secara terbuka yang dikemukakan tokoh korporat itu bersama dan Berjaya Land ke atasnya.

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan tidak akan meminta maaf kepada Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad susulan kenyataan beliau yang didakwa memfitnah tokoh korporat serta syarikat berkenaan.

“Tak akan (minta maaf)…kes itu masih berkembang dan dokumen sedang diserahkan, jadi kita tengok sehari dua lagi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tuntutan permohonan maaf secara terbuka yang dikemukakan tokoh korporat itu bersama dan Berjaya Land ke atasnya.


Selain itu, pihak berkenaan turut menuntut pampasan ganti rugi RM200 juta daripada Sanusi susulan dakwaan Menteri Besar itu yang dikatakan membuat kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).


Muhammad Sanusi dikatakan menyampaikan ucapan berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti bertujuan menggugat Vincent Tan dan Berjaya Land secara langsung atau tidak langsung berkaitan projek terbabit ketika ‘Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) Best’ dan ‘PN Best Sayangi Kedah Sejahtera Mega Tour’ pada 2 Ogos lalu.


Dalam perkembangan berasingan Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menganggap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sewajarnya mengumumkan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) ketika hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin hampir.


“Tak patut (umum dekat pilihan raya)…kalau tak ada pilihan raya tak boleh buatkah?
“Buatlah di luar musim pilihan raya, ini nampak sangat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Mai Sat Bersama Menteri Besar Kedah di sini, semalam.


Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengundi terutamanya pesawah yang bakal menerima subsidi itu supaya menerima bantuan Kerajaan Persekutuan berkenaan, namun tetap mengundi PN pada 12 Ogos ini.


Beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai cara ‘menghalalkan’ bantuan berkenaan atau ia boleh dianggap sebagai rasuah menjelang PRN kali ini.


“Kalau dari segi pesawah sudah tentu mereka ucap terima kasih (kepada Perdana Menteri), tapi saya nak pesan kepada pesawah, duit tu dapat terima tapi undi PN,” katanya.


Sementara itu, Muhammad Sanusi turut mendakwa ada dalam kalangan calon Pakatan Harapan (PH) tertentu yang mula memberikan wang kepada orang ramai ketika berkempen bertujuan untuk membeli undi.
Jelasnya, perbuatan itu tidak wajar dilakukan kerana ia antara kesalahan pilihan raya kerana dilakukan ketika waktu berkempen sedang berlangsung.


“Saya dapati ada yang berjalan seluk poket selepas tu beri pada orang…menjelang hari pengundian mungkin ada lagi pemberian itu, (jadi) siapa bagi duit jangan undi dia (tapi) undi lawan dia,” katanya.

–Hifzuddin Ikhsan