Home » Tiada kemudahan pengairan, saliran punca padi belum ditanam – Hendrus
Berita Tempatan Politik

Tiada kemudahan pengairan, saliran punca padi belum ditanam – Hendrus

Hendrus berkata demikian bagi menjawab soalan Jonnybone J. Kurum (PBS-Telupid) mengenai masalah yang menyebabkan keseluruhan kawasan tanah berkenaan belum ditanam padi dan langkah yang perlu diambil kementerian untuk menyelesaikannya.

KOTA KINABALU: Kawasan tanah Korporasi Pembangunan Desa  (KPD) yang belum ditanam padi di Terusan Sapi Telupid disebabkan oleh ketiadaan kemudahan pengairan dan saliran.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Hendrus Anding berkata, kementerian melalui KPD sudah mengemukakan cadangan berserta keperluan kewangan untuk pembangunan skim penanaman padi kepada kerajaan Persekutuan.

Katanya, pada masa ini, KPD dalam proses perbincangan dengan sebuah agensi Persekutuan untuk membangunkan kawasan yang belum ditanam dengan padi.

“Pihak KPD sentiasa terbuka dan bersedia untuk membangunkan baki kawasan yang belum dibuka bagi menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan jaminan makanan di Sabah,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jonnybone J. Kurum (PBS-Telupid) mengenai masalah yang menyebabkan keseluruhan kawasan tanah berkenaan belum ditanam padi dan langkah yang perlu diambil kementerian untuk menyelesaikannya.

Hendrus berkata, Skim Penanaman Padi Trusan Sapi Telupid yang dimiliki oleh KPD mempunyai keluasan  1,600 hektar yang sesuai untuk tanaman padi.

Menurutnya, setakat ini, seluas 800 hektar sedang diusahakan melibatkan 208 pesawah.

“Memandangkan kemudahan pengairan dan saliran yang dibina sejak tahun 70-an sudah uzur dan kebanyakkannya tidak berfungsi dengan baik, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah sedang dalam usaha menambah baik rumah pam skim pengairan Terusan Sapi secara berperingkat mengikut peruntukan yang tersedia,” jelasnya.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment