Home » DUN Sabah lulus tiga RUU
Berita Tempatan Politik

DUN Sabah lulus tiga RUU

RUU Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2023 yang dibentang oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif diluluskan selepas dibahas oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan tiga Rang Undang-Undang dalam Mesyuarat Penggal Keempat DUN Sabah Ke-16 kelmarin.

Tiga RUU berkenaan adalah RUU Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2023, RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023 dan RUU Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023.

RUU Undang-Undang Keluarga Islam (Pindaan) 2023 yang dibentang oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif diluluskan selepas dibahas oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Sesi perbahasan dikendalikan oleh Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Al Hambra Juhar selepas bacaan ketiga itu melibatkan ADUN Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg. Amir; ADUN Bugaya Jamil Hamzah; ADUN Kunak Norazlinah Arif; ADUN Sekong Alias Sani; dan ADUN Dilantik Amisah Yassin.

RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Pindaan) 2023 diluluskan selepas bacaan kali pertama, kedua dan ketiga oleh Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Richard Yong Ke Wong melibatkan ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob, Norazlinah dan Amisah.

agi RUU Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga oleh Speaker DUn Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya.

Mohd Arifin berkata, pindaan RUU Keluarga Islam bertujuan menambah peruntukan baharu dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2004 bagi memberi punca kuasa kepada Yang Dipertua Negeri untuk melantik jurunikah dari kalangan pendaftar dan mana-mana orang yang berkelayakan tidak lagi mengikut sempadan yang ditetapkan bagi kariah masjid.

Tetapi katanya, ia mengikut kawasan yang ditentukan oleh Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam.

Selain itu jelasnya, RUU berkenaan turut memberi keluasan kepada pasangan yang hendak berkahwin untuk menjalankan akad nikah mereka di mana-mana daerah dalam negeri ini atau dalam mana-mana negeri lain dalam Malaysia tanpa tertumpu kepada tempat di 
mana perempuan itu bermastautin.

“RUU ini juga menyediakan peruntukan yang lebih jelas berkaitan dengan fungsi Wali Raja yang mana fungsinya bukan sahaja diperlukan bagi mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab, tetapi juga diperlukan dalam mana-mana keadaan di mana hak wali berpindah kepada Wali Raja menurut hukum syarak.

“Ia juga menyediakan peruntukan yang lebih praktikal bagi mana-mana pemastautin Sabah yang berkahwin di luar negara untuk mengikut undang-undang yang disediakan oleh negara itu.

“Mereka hanya perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di negeri ini dalam tempoh enam bulan dari tarikh ketibaan mereka kembali ke negeri ini sebagai rekod yang sah menurut undang-undang negeri ini,” katanya.

Menurutnya, satu peruntukan disediakan bagi RUU berkenaan untuk memberi pengiktirafan kepada suatu perkahwinan yang diakadnikahkan di luar negara atau dalam mana-mana negeri lain dalam Malaysia sebagai suatu perkahwinan yang sah selagi mana perkahwinan itu selaras dengan kehendak undang-undang negara atau negeri itu dan tidak bertentangan dengan hukum syarak.

— TAMAT

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment