Home » Kawalan injap suis tindakan segera atasi masalah air di HWKK
Berita Tempatan Politik

Kawalan injap suis tindakan segera atasi masalah air di HWKK

Shahelmey (kanan) berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Darell Leiking (WARISAN-Moyog) mengenai perancangan secara terperinci untuk menangani masalah air yang mengakibatkan banyak fasiliti kritikal mengalami gangguan seperti di HWKK pada sidang DUN di sini hari ini.

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan air di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Sabah diatasi dengan tindakan segera menerusi pengawalan injap suis di kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata,  tindakan berkenaan untuk memastikan bekalan air sama rata dan meningkatkan tekanan air ke kawasan yang terlibat khasnya di HWKK.

Menurutnya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melalui Jabatan Air Daerah Kota Kinabalu mengambil maklum terhadap gangguan bekalan air di kawasan itu.

“Buat masa ini, masalah gangguan bekalan air di HWKK dapat diatasi.

“Masalah gangguan bekalan air yang sering berlaku di Sabah, terutama kawasan utara Kota Kinabalu disebabkan oleh kadar permintaan air terawat semasa di kawasan itu adalah 221 Juta Liter Sehari (JLH) dan ia melebihi kapasiti reka bentuk sedia ada iaitu sebanyak 171 JLH.

“Kekurangan bekalan ke kawasan ini adalah sebanyak 50 JLH ataupun 29.2 peratus. Sumber bekalan air yang membekalkan air ke kawasan HWKK adalah melalui Loji Rawatan Air Telibong II Fasa I,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Darell Leiking (WARISAN-Moyog) mengenai perancangan secara terperinci untuk menangani masalah air yang mengakibatkan banyak fasiliti kritikal mengalami gangguan seperti di HWKK pada sidang DUN di sini hari ini.

Selain itu katanya, projek yang dalam fasa pembinaan dan dalam proses penyiapan iaitu pembinaan projek naik taraf Loji Rawatan Air Telibong II Fasa II yang dijangkakan siap pada awal September 2023 akan dapat membekalkan tambahan air terawat sebanyak 20 peratus ataupun tambahan sebanyak 16 JLH untuk menampung keperluan bekalan air di kawasan sekitarnya.

“Tambahan 16 JLH ini yang akan disalurkan ke dalam sistem bekalan air sedia ada akan dapat mengurangkan masalah gangguan bekalan air di kawasan terbabit sehinggalah Projek Telibong II fasa II siap sepenuhnya termasuk pemasangan paip-paip baru ke kawasan ini untuk penyelesaian sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey turut menjelaskan bekalan air yang diambil daripada pihak swasta sebagai satu langkah kecemasan.

Menurutnya, apabila ada gangguan bekalan air kritikal, kita menghantar lori tangki air daripada JANS ataupun sekiranya ketidakcukupan lori air dari jabatan,  kita melantik syarikat swasta untuk membantu menghantar air ke tempat-tempat yang terkesan. 

“Namun demikian apa yang terjadi, ada pihak-pihak swasta yang mengambil kesempatan untuk mengambil keuntungan berlebihan daripada aktiviti itu. Mereka sepatutnya membekalkan air sahaja dan kos akan ditanggung oleh kerajaan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Senallang) mengenai kebergantungan JANS dengan bekalan air daripada swasta. 

Selain itu jelasnya, bagi jangka masa panjang, kerajaan mempunyai perancangan untuk membina Empangan Ulu Padas dan Papar iaitu asalnya mendapat tentangan oleh sebahagian pihak.

“Sekarang kita sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan yang dijangka keputusan kajian itu siap pada bulan Oktober sebelum kita membuat keputusan yang muktamad,” katanya. 

Beliau turut berkata, JANS tidak memerlukan banyak lori air kerana ia akan menjadi satu aset yang tidak digunakan secara efektif jika bekalan air berjalan dalam keadaan yang stabil.
 

— Siti Aisyah Narudin