Home » Penduduk hargai tindakan pantas Telekom
Berita Tempatan Politik

Penduduk hargai tindakan pantas Telekom

TINJAU: Chew (kiri) meninjau kerja-kerja penyelenggaraan yang dilakukan pihak Telekom.

SANDAKAN: Penduduk menghargai tindakan pantas Telekom menyelenggara kabel yang tersentuh dengan dahan pokok di kawasan Hsiang Garden di sini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karamunting Datuk Chew Kok Woh berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk di kawasan berkenaan mengenai insiden berkenaan.

“Setelah siasatan dilakukan, kabel terbabit adalah milik Telekom dan bukannya Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

“Berikutan itu, jurutera Telekom telah hadir untuk menaikkan kabel berkenaan untuk sementara waktu, sambil menunggu pihak Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) untuk memotong dahan-dahan pokok,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Sementara itu katanya, satu tinjauan dilakukan ke tapak perumahan bangunan Wing Kin di Jalan Leila.

Katanya, tinjauan bertujuan mencari penyelesaian kepada tangki septik yang selalu tersumbat sehingga menyebabkan limpahan sisa najis ke atas jalan raya.

“Pihak Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sabah (JPPS) mencadangkan satu lurang kumbahan (manhole) baharu dibina yang disambung dengan dua paip kumbahan ke manhole utama sedia ada.

“Saya akan memohon kepada JPPS daerah ini agar pembinaan serta naik taraf kemudahan ini disegerakan,” katanya.

Katanya, bangunan Wing Kin sudah berusia 50 tahun dan sudah tiba masanya kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan berkaitan dengan perumahan itu dilakukan.

Hadir sama dalam tinjauan ialah Pegawai Pembangunan Komuniti Chau Wai Chun dan Pemaju Mukim Syed Putra Ar-rahim.

— Yap Siong Han