Home » Jeffrey rasmi Penutup Kejohanan MSSDT ke-55
Berita Tempatan Sukan

Jeffrey rasmi Penutup Kejohanan MSSDT ke-55

ALBUM: Jeffrey (empat kiri) merakamkan gambar kenangan bersama sebahagian atlet dengan tropi kemenangan semasa penutupan kejohanan itu.

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan hadir merasmikan Penutupan Kejohanan Sukan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah Tambunan (MSSDT) yang Ke-55 menggabungkan peserta dari Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kompleks Sukan di sini baru-baru ini.

Seramai 738 peserta termasuk dari Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang terdiri daripada 29 kontinjen sekolah rendah, empat kontinjen sekolah menengah dan satu kontinjen dari sukan Sekolah Malaysia Sabah menyertai kejohanan itu. 

Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada guru-guru, ibu bapa, para petugas sukarelawan, semua pelajar dan atlet atas penglibatan mereka dalam kejohanan itu.

“Selaras dengan tema kejohanan MSSM 2023 iaitu Sukan Nadi ABC (Anak Yang Baik Lagi Cerdik), bidang sukan platform terbaik untuk melahirkan murid yang cergas fizikal, ketahanan mental dan disiplin yang tinggi.

“Menerusi latihan konsisten dan seimbang, sukan juga mampu membentuk seseorang pelajar yang cergas, patuh dengan aturan dan langsung membentuk atlet yang berhemah tinggi, bertanggungjawab dan mempunyai jati diri yang kental serta mempunyai daya kepimpinan.

“Selain itu, kejohanan ini bukan hanya sekadar untuk menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara tetapi yang lebih penting ialah ia dapat memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada pelajar-pelajar dan atlet bahawa kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi dan pengorbanan.

“Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui perjuangan berterusan. Kejohanan ini adalah landasan ke arah perpaduan, menjalin sifat hormat menghormati dan semangat kerjasama yang tinggi dalam membentuk masyarakat yang tinggi dalam membentuk masyarakat majmuk yang berjiwa kental, patriotik di antara satu sama lain,” katanya.

Tambahnya, kegiatan sukan yang berterusan boleh menjadi satu daripada benteng yang positif kepada para pelajar daripada terlibat dengan gejala sosial yang tidak sihat.

Melalui latihan persiapan mental dan spiritual katanya, seseorang atlet itu dapat dilatih agar mempunyai daya saing dan semangat juang yang tinggi kerana melalui kegiatan sukan, pembangunan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama boleh menjadi peneraju negara pada masa hadapan.

Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, aktiviti sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk yang ada di Sabah, khususnya di daerah Tambunan.

“Perpaduan adalah kunci kejayaan Malaysia sehingga dikenali di peringkat antarabangsa. Rakyat tidak seharusnya alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni.

“Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertoleransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan dan semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama,” katanya.

— Kenneddy Corlleus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment