Home » Kerajaan titik berat budaya integriti penjawat awam: Mohd Arifin 
Berita Tempatan Politik

Kerajaan titik berat budaya integriti penjawat awam: Mohd Arifin 

Mohd Arifin berkata, sempena majlis itu Jabatan Perkhidmatan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) turut melancarkan OACP jabatan 2023-2025.

KOTA KINABALU: Pembudayaan integriti di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri sentiasa dititikberatkan kerajaan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dalam kalangan penjawat awam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, usaha memperkasakan nilai-nilai integriti diterapkan antaranya melalui Pelan Antirasuah Nasional (NACP) peringkat Persekutuan dan di peringkat kerajaan negeri melalui Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGONS).

Menurutnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri turut melancarkan Sistem i-Adu untuk membolehkan orang awam membuat aduan dan kementerian serta jabatan memberikan maklum balas ke atas aduan-aduan awam dengan cepat dan telus.

“Kementerian ini juga komited dalam mereformasi tadbir urus dan menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang efisien dan telus (transparent).

“Antara inisiatif-inisiatif di peringkat kementerian dan juga jabatan yang dilaksanakan adalah Pelan Anti Rasuah Organisasi KSTI (OACP) yang dilancarkan pada 25 Februari 2021.

“Pelan ini adalah komitmen kementerian untuk  menyampaikan perkhidmatan dengan lebih efektif dan telus dengan konsisten,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Minggu    Integriti Kementerian, Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) 2023 di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata, sempena majlis itu Jabatan Perkhidmatan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) dan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) turut melancarkan OACP jabatan 2023-2025.

Selain itu katanya, DASHBOARD KSTI yang dilancarkan pada 2022 dengan memaparkan dan mengintegrasikan data-data terkini kementerian, jabatan dan agensi (bukan kategori sulit) yang boleh diakses oleh orang awam.

Inisiatif berkenaan katanya, ia adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk berkongsi maklumat secara telus di antara kerajaan dengan kerajaan, agensi swasta dan  juga rakyat. 

“Modul Integriti TVET Pertama Malaysia dimeterai di antara Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Usaha ini menjadikan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) satu-satunya institusi TVET yang bernaung di bawah kerajaan negeri sebagai institusi pertama dalam mengaplikasikan subjek integriti dan antirasuah di Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata, modul berkenaan adalah subjek elektif wajib dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di ILTP.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri meluluskan penggunaan Google Workspace (GWS) kepada lebih kurang 10,384 penjawat awam negeri Sabah yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

“Penggunaan perisian ini akan dapat meningkatkan lagi produktiviti dan kecekapan pengguna.

“Saya menyeru kepada seluruh warga KSTI, jabatan serta agensi di bawahnya agar sentiasa memartabatkan amalan bebas rasuah di dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan projek pembangunan.

“Tanggungjawab yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dengan sepenuh hati dan ketepikanlah kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata, budaya kerja cemerlang dan berintegriti akan menjadi asas kepada peningkatan imej dan produktiviti sesebuah organisasi. 

— Siti Aisyah Narudin