Home » Kerajaan Perpaduan GRS Plus fokus pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya – Nizam
Berita Tempatan Kenyataan Media Politik

Kerajaan Perpaduan GRS Plus fokus pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya – Nizam

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan YAB DSP Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan PH Sabah

Merujuk kepada kenyataan media Datuk Yong Teck Lee berkenaan dengan cadangan SAPP agar GRS bertanding di kesemua 73 kerusi DUN Negeri Sabah adalah merupakan pandangan peribadi beliau dan parti SAPP.

Kita menghormati pandangan beliau ini namun ia bukanlah melambangkan pandangan GRS secara kolektif.

Perkara berkaitan kerusi DUN Sabah untuk pilihan raya negeri yang akan datang belum lagi dibincangkan oleh pimpinan tertinggi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana fokus Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah pada masa ini ialah untuk terus komited melaksanakan segala agenda pembangunan negeri dan rakyat Sabah selaras dengan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan YAB DSP Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri adalah stabil dan berjalan dengan baik atas sokongan semua pihak dari GRS dan PH Sabah.

Kita hargai dan berterima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh rakan-rakan pimpinan PH Sabah terutama sekali semasa kita menghadapi ‘Langkah Kinabalu’ pada awal tahun ini iaitu krisis politik yang ditimbulkan oleh Warisan dan sebahagian pimpinan UMNO Sabah.

Sokongan dan kerjasama yang telah terjalin dalam kerajaan Perpaduan GRS Plus hari ini dapat diperkukuh dan diteruskan demi kebaikan rakyat dan kepentingan negeri Sabah tercinta.

Sekian.

DATUK NIZAM ABU BAKAR TITINGAN

KETUA PENERANGAN PARTI GAGASAN RAKYAT

14 OGOS 2023