Home » Pertahan perpaduan, nikmat kemerdekaan tinggi nilai: Joachim
Berita Tempatan Politik

Pertahan perpaduan, nikmat kemerdekaan tinggi nilai: Joachim

PELANCARAN: Joachim bersama Jainisah merakamkan gambar sambil memegang Kalendar Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 Negeri Sabah Peringkat Daerah Ranau.

RANAU: Hidup dalam perpaduan antara kaum dan etnik menjadi nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam setiap insan agar nikmat dari kemerdekaan Malaysia yang dikecapi ini dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa dan maruah menjadi taruhan.
 
“Marilah kita sama-sama melakarkan usaha berterusan bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
 
“Jadikanlah tanah air kita ini sebagai sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Negeri Sabah Peringkat Daerah Ranau di  sini hari ini.
 
Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyeru orang ramai agar membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.
 
“Buanglah sikap hanya menunggu dan mengharap pemberian Jalur Gemilang percuma daripada pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

“Setiap individu di negara ini perlulah mengubah persepsi bahawa hanya agensi kerajaan sahaja yang meraikan sambutan gah ini,” katanya.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang mengingatkan semua agar lebih peka mengenai Jalur Gemilang di sekeliling mereka.

Menurutnya, sekiranya ada ternampak Jalur Gemilang yang lusuh atau koyak, ambillah inisiatif untuk membeli dan menggantikannya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar Jalur Gemilang itu dapat diturunkan dan ditukar baharu.
 
“Marilah kita bersama-sama untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah ini.
 
“Janganlah kita mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti dan imej negara dan sama-samalah kita memelihara perpaduan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
 
“Didiklah anak-anak kita akan kepentingannya supaya semangat cinta dan sayangkan negara bukan sahaja kepada generasi masa kini tapi juga kepada generasi yang akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan tahniah dan syabas khususnya kepada Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah dan semua yang terlibat atas usaha dan dedikasi dalam merancang, mengkoordinasi dan menzahirkan program berkenaan.

“Saya juga difahamkan banyak pihak yang bersama-sama bekerjasama dalam menjayakan program ini termasuklah jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),  Pejabat Daerah Ranau (PDR), Majlis Daerah Ranau (MDR),  Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Ranau, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pusat Ekonomi Digital (PEDi), dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar Kundasang (JKDB).
 
“Setinggi penghargaan diucapkan kepada Pegawai Daerah Ranau atas penglibatan dan penyelarasan yang mantap dan padu dalam menjayakan program pada hari ini.

“Sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, marilah kita bersama-sama menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri kita,” jelasnya.
 
Beliau berkata, ia selaras dengan usaha menjadi Malaysia sebagai negara yang lebih makmur dan maju berteraskan kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat.

Turut hadir, Ahli Parlimen Ranau Datuk Jonathan Yasin;ADUN Dilantik Datuk Amisah Yassin dan Pengarah JaPen Sabah Jainisah Mohd Noor.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment