Home » Miss International Malaysia 2023 bukan sekadar pertandingan kecantikan
Berita Am Berita Tempatan

Miss International Malaysia 2023 bukan sekadar pertandingan kecantikan

KENANGAN: Ammar merakamkan gambar kenangan bersama semasa sidang media National Grand Final MIM2023 di SICC di sini.

KOTA KINABALU: Penganjuran Miss International Malaysia 2023 (MIM2023) bukan sekadar pertandingan kecantikan semata-mata malah mempunyai implikasi mendalam terhadap industri pelancongan negara. 

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, pertandingan kecantikan peringkat antarabangsa itu juga mampu mengeratkan perpaduan dalam kepelbagaian budaya yang dibawakan oleh semua peserta.

“Seperti sedia maklum, bidang pelancongan adalah berkenaan penerokaan keindahan landskap, budaya dan tradisi yang pelbagai dalam sesebuah kawasan.

“Melalui industri ini juga mampu mempamerkan permata tersembunyi yang ada di setiap destinasi.

“MIM2023 kini berkembang lebih luas dan bukan hanya satu platform untuk kecantikan dan keanggunan semata-mata tetapi melaksanakan tanggungjawab, kemampanan dan tadbir urus beretika,” katanya semasa berucap pada sidang media National Grand Final MIM2023 di sini, semalam.

Katanya, selaras dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global, MIM melaksanakan amalan memelihara alam sekitar seperti menyokong pemuliharaan dan pelancongan yang bertanggungjawab. 

“Dari segi sosial, MIM memupuk keterangkuman dan kepelbagaian dengan menyediakan peluang untuk wanita muda dari pelbagai latar belakang untuk menjadi contoh dan duta bagi beramal sambil mengekalkan pengurusan yang telus, beretika serta bertanggungjawab dalam membentuk teras prinsip penganjuran acara ini.

“Melalui inisiatif ini juga, MIM meletakkan pertandingan ini bukan sahaja sebagai pertandingan kecantikan tetapi sebagai wadah untuk memacu kesedaran dan tindakan ke arah masa depan yang lebih mampan, saksama dan bertanggungjawab untuk negara serta global,” katanya.

Beliau berkata, MIM juga memberi kesan mendalam kepada industri pelancongan serta aspek ekonomi melalui peningkatan penjanaan perniagaan terhadap hotel tempatan, restoran, perkhidmatan pengangkutan serta industri lain berkaitan. 

“Paling penting acara ini juga menawarkan peluang untuk usahawan tempatan mempamerkan produk dan kraf yang boleh menarik minat pelancong.

“Sabah yang sinonim dengan Negeri Dibawah Bayu mempunyai khazanah alam semula jadi dan kekayaan budaya.

“Industri pelancongan Sabah juga menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun dan sasaran 4.2 juta pengunjung yang menjana RM9 bilion hasil seperti sebelum pandemik COVID-19 mampu dikembalikan menjelang 2024,” katanya.

Beliau juga berbesar hati mengalu-alukan Miss International Jasmin Selberg, Miss International Malaysia Giselle Tay, dan finalis MIM2023 untuk mempamerkan bukan sahaja kecantikan tetapi memperkenalkan destinasi menarik yang ada di Sabah kepada dunia.

“Mereka adalah duta budaya kita, nilai kita, dan semangat kita untuk kecemerlangan lebih-lebih lagi selepas Sabah dipilih sebagai tuan rumah dalam penganjuran pertandingan antarabangsa ini.

“Semoga acara ini menjadi mercu tanda yang menarik pelancong dari seluruh dunia untuk menerokai keindahan di Sabah yang semestinya memukau setiap individu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pentas Anak Seni Malaysia (PPASM) PPASM Jenny Ngu berkata, penganjuran acara sebagai platform yang diiktiraf di peringkat global, akan menarik penonton dari sudut di seluruh dunia bukan hanya memperkasa wanita tetapi juga menggalakkan evolusi MIM2023, menjadi teladan yang memberi inspirasi kepada golongan belia melalui pelbagai program dibawakan sepanjang pertandingan ini. 

“Sebelum acara kemuncak bagi pemilihan MIM2023, peserta akan melibatkan diri dengan masyarakat setempat terutama golongan belia sebagai salah satu inisiatif menangani kebimbangan sosial dan menggalakkan pembangunan mampan. 

“Secara tidak langsung MIM2023 memperlihatkan amalan pendidikan, pemerkasaan wanita, pemuliharaan alam sekitar serta amalan budaya setiap peserta meliputi pelbagai aspek bagi memupuk kesan positif dan penerimaan warisan kepelbagaian dalam komuniti,” katanya.

Tambahnya, usaha itu disusuli dengan jalinan kerjasama bersama Kota Kinabalu dan Sandakan Pink Ribbon dalam meningkatkan kesedaran serta memberikan sokongan kepada mangsa kanser payudara seterusnya memperkasa golongan wanita yang menghadapi cabaran penyakit berkenaan.

Katanya, 20 finalis juga akan mewakili Malaysia ke MIM2023 termasuklah lapan finalis dari Semenanjung, tujuh dari Sabah dan lima dari Sarawak.

— Vivi Olviana Najurus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment