Home » Perdagangan Sabah cipta sejarah
Berita Tempatan Politik Sudut Pandangan

Perdagangan Sabah cipta sejarah

Menurut Mohd Uzir, Perdagangan Sabah pada tahun 2022 melepasi RM100 bilion, iaitu satu rekod pertumbuhan tertinggi. (Gambar Hiasan)

DALAM tempoh tujuh bulan lepas, rakyat Sabah telah disantuni dengan beberapa peristiwa menarik, yang mempunyai hubungan kait dengan kepentingan rakyat dan negeri.

Yang saya maksudkan ialah beberapa langkah dan dasar yang diambil oleh Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, khususnya untuk  meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri Sabah, pemantapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan, meningkatkan aktiviti pertanian dan membantu ekonomi panduduk luar bandar. 

PERDAGANGAN SABAH MELEPASI RM100 BILION

Tetapi sebelum itu, perkara  paling menarik ialah kenyataan Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr Mohd Uzir Mahiddin pada 31 Julai 2023 mengenai pencapaian perdagangan Sabah. 

Menurut Mohd Uzir, Perdagangan Sabah pada tahun 2022 melepasi RM100 bilion, iaitu satu rekod pertumbuhan tertinggi.
Secara spesifiknya, perdagangan Sabah meningkat 35.4 peratus daripada RM87.2 bilion pada tahun 2021 kepada RM118.1 bilion pada tahun 2022.

Kenyataan Ketua Perangkawan Malaysia itu memberi kesimpulan bahawa ekonomi Sabah dari segi perdagangan  adalah sangat memberangsangkan.

Bergerak ke hadapan, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa dasar pembangunan berimpak tinggi yang mampu menjadi penukar permainan bagi mencapai  pembangunan mampan di negeri Sabah.  

MENGANGKAT EKONOMI LUAR BANDAR

Yang pertama ialah pembinaan sebuah kilang pemprosesan bersepadu kelapa (integrated coconut processing plant) dan yang menariknya ialah kilang itu akan dibina di Langkon, Kota Marudu. 

Ketua Menteri sendiri menyaksikan majlis menandatangan Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk membina kilang itu melalui usahasama antara Linaco Group dan Sawit Kinabalu pada 30 Mac 2023. 

Dengan kos pembinaan sejumlah RM200, kilang bersepadu itu mampu meningkatkan industri penanaman kelapa, sekaligus memberi nafas dan insentif baharu kepada penduduk luar bandar untuk bergiat aktif dalam industri penanaman kelapa. 

Bukan itu sahaja. Kilang pemprosesan bersepadu kelapa itu, yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun,  bakal mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat dan berhampiran, khususnya penduduk di Kota Marudu, Kota Belud, Kudat dan Pitas. 

Sepanjang bulan Julai pula menyaksikan dua peristiwa penting. Yang pertama ialah pengumuman Ketua Menteri tentang pewujudan semula Lembaga Padi Sabah (LPS).

Langkah itu bertujuan meningkatkan paras tahap sara diri beras negeri Sabah kepada 60 peratus menjelang 2030.

Susulan mengenai Lembaga Padi Sabah, Hajiji juga  mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menangani isu Tahap Sara Diri atau Self Sufficiency Level di Sabah, yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah. 

Antara isu yang telah dikenalpasti oleh Jawatankuasa Khas Kabinet itu ialah berkaitan dengan keluasan sawah yang semakin kurang kerana digunakan menjadi Kawasan Pembangunan perumahandan kedai komersil.

Bagi menangani isu itu, Kerajaan telah meneroka kawasan penanaman padi baharu di Trusan Sapi, daerah Beluran seluas kira-kira 2,000 ekar. 

Langkah itu memperlihatkan bahawa Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Hajiji serius untuk membangunkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan yang sememangnya mempunyai potensi yang sangat besar. 

BEKALAN DAN HARGA SIMEN

Sabah sememangnya sangat memerlukan jaminan bekalan dan harga simen  yang  konsisten dan murah. 

Kerajaan Negeri menangani perkara itu dengan merancang pembinaan sebuah loji klinker dan simen bersepadu di Pinangah, Tongod.

Loji klinker itu akan dibangunkan melalui usahasama  antara SEDCO dan Sri Alam Setia Sdn Bhd. 

Hajiji sendiri menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Usahasama itu di Kota Kinabalu pada 2 Ogos 2023.

Loji itu bakal menyediakan akses kepada 5,000 tan klinker setahun bersamaan dengan 1.75 juta tan setiap tahun dan menyediakan 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. 

Dengan keperluan pasaran Sabah ketika ini pada 1.4 juta tan setahun, projek itu bukan Sahaja memenuhi keperluan segera tetapi memastikan bekalan di masa akan datang. 

MEMANTAPKAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN KERAJAAN

Dalam usaha memantapkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Hajiji telah mengambil langkah menaik taraf semua 749 pejabat Kerajaan negeri dengan kelengkapan peralatan digital. 

Langkah itu juga akan memastikan jentera Kerajaan terus bekerja dalam suasana 5A iaitu Available At Anytime, Anywhere with Any Mobile Device, termasuk pemasangan wifi di semua premis Kerajaan dengan keselamatan siber.

Seperti kata Hajiji, Kerajaan Negeri mengutamakan pendigitalan perkhidmatan awam ke arah pentadbiran digital bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

Segala usaha murni Kerajaan itu sesungguhnya merupakan naratif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). (Penulis adalah wartawan veteran Sabah).

*Emin Madi merupakan wartawan dan penulis veteran Sabah

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment