Home » Usahawan INSKEN tingkat jualan RM2.6 juta, cipta 192 pekerjaan baharu
Berita Tempatan Politik

Usahawan INSKEN tingkat jualan RM2.6 juta, cipta 192 pekerjaan baharu

MESRA: Ewon bersua foto dengan usahawan semasa program terbabit.

KOTA KINABALU: Program Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan INSKEN Start-Up Coaching (STC) 2023 berjaya mencatatkan peningkatan hasil jualan sehingga RM2.6 juta selain mencipta 192 peluang pekerjaan baharu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, program INSKEN Start-Up Coaching dilaksanakan selama enam bulan manakala Program IBBC empat bulan yang disertai 135 usahawan.

“Program IBBC terbahagi kepada industri kafe dan restoran, bakeri serta pencetakan dan servis berkaitan disertai oleh usahawan yang sudah menjalankan perniagaan minimum dua tahun ke atas serta aktif beroperasi. 

“Program INSKEN Start-Up Coaching Bakeri pula disertai usahawan permulaan yang menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan sehingga dua tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2023 di Hotel Tenera, Bangi.

Katanya, selain berjaya meningkatkan hasil jualan dan mencipta peluang pekerjaan baharu, program ini juga berjaya menukar status perniagaan daripada kategori mikro kepada perniagaan kecil.

“Seramai 12 usahawan berjaya meningkatkan hasil jualan sehingga bertukar status perniagaan daripada kategori mikro kepada kecil, dimana nilai purata jualan selepas program adalah sebanyak RM400,000. 

“Kejayaan program ini bukan sahaja melalui wang ringgit yang dihasilkan tetapi peluang-peluang pekerjaan turut berjaya diwujud. 

“Dalam keadaan ekonomi yang amat mencabar, saya bangga melihat kejayaan peserta program bimbingan INSKEN,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan ini memberikan impak positif  kerana bukan sahaja meningkatkan perniagaan tetapi memberi impak kepada masyarakat dari segi peluang pekerjaan.

“Tahniah kepada INSKEN kerana berjaya menganjurkan program seumpama ini yang memberikan banyak manfaat kepada usahawan terutamanya dalam meningkatkan hasil jualan dan memajukan perniagaan,” katanya.

Ewon turut mengingatkan para usahawan supaya terus cekal, kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam memajukan perniagaan.

— Vivi Olviana Najurus