Home » Gotong Royong Perdana anjuran Majlis Daerah Kota Marudu disertai 500 orang
Berita Tempatan Politik

Gotong Royong Perdana anjuran Majlis Daerah Kota Marudu disertai 500 orang

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau Datuk Maijol Mahap teruja menyaksikan semangat gotong royong yang ditonjolkan dikalangan pimpinan parti-parti komponen GRS bahagian yang terlibat dalam program gotong royong tersebut.

BANDAU – Majlis Gotong Royong Perdana bersama pemimpin dan semua jabatan kerajaan di Pekan Baru Kota Marudu telah dirasmikan oleh Datuk Maijol Mahap, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau pada pagi kelmarin. Program ini diselaraskan oleh Biro Keceriaan Pekan dan Kampung Gagasan Rakyat bahagian yang dipengerusikan oleh Junain Talip. Majlis Gotong Royong Perdana ini dianjurkan oleh Majlis Daerah Kota Marudu.

Dalam ucapan Datuk Maijol, beliau mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Majlis Daerah Kota Marudu kerana meluluskan cadangan program Gotong Royong Perdana. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan kerajaan yang turut sama menjayakan program tersebut.

“Saya sebenarnya terharu dengan semangat kerjasama oleh semua termasuk pemimpin komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), pelajar sekolah menengah, dan para sukarelawan. Tanpa sokongan semua program Gotong Royong Perdana tidak akan terlaksana dengan jayanya.

“Gotong royong adalah satu program yang memupuk semangat muhibah dan kerjasama dikalangan masyarakat selain memastikan kebersihan dan keceriaan Pekan Kota Marudu sentiasa terjaga”, kata Maijol yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi  (AMT) Gagasan Rakyat.



Mengenai kesesakan jalanraya di pekan, Maijol berkata dia yakin kerajaan sudah tentu akan mempertimbangkan dan meluluskan pembinaan jalanraya di kawasan pekan Kota Marudu bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak. Beliau yakin dengan terbinanya jalanraya nanti, ianya sudah pasti memberikan kelegaan kepada rakyat selain menceriakan pekan.

Dalam program Gotong Royong Perdana kelmarin seramai 500 orang menyertainya. Program tersebut bermula seawal pukul 6 pagi sehingga pukul 10 pagi di sekitar Pekan Baru Kota Marudu.

Turut hadir dalam program tersebut ialah YB Tuan Hendrus Anding ADUN Tandek, Sharif Kadah Sharif Osman Pemimpin Pembangunan Masyarakat ( PPM ) Bandau, Majawab Masantun PPM Tandek, Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu, Abdul Sani Arsat Pegawai Eksekutif MDKM, OKK Elui Majingkin Ketua Daerah Kota Marudu, wakil parti komponen GRS, ketua-ketua jabatan kerajaan, Pengerusi JKKK, Ketua-Ketua Kampung dan pemimpin masyarakat.

— TAMAT