TAWAU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tawau akan menyokong dan bekerja keras untuk memberi kemenangan kepada siapa sahaja calon yang diberi kepercayaan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketuanya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pihaknya sudah mengemukakan ‘senarai panjang’ calon yang difikirkan layak kepada pucuk pimpinan negeri.
“Ini adalah prosedur biasa apabila kita menghadapi pilihan raya… Apa juga keputusan pucuk pimpinan, itulah kekuatan kita untuk terus bekerja bagi memberi kemenangan kepada calon,” katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Tawau 2022 di di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri Kewangan meminta ahli-ahli parti, khususnya pemimpin akar umbi agar bersiap sedia dan memperkemaskan jentera parti serta senarai pengundi kawasan.
“Kita mahu mereka memastikan pengundi kawasan masing-masing tidak terpedaya dengan pihak yang hanya datang dan timbul setiap kali musim PRU, kemudiannya hilang.
“Pihak tidak bertanggungjawab ini akan muncul kembali apabila PRU datang lagi… Beri kefahaman kepada rakyat bahawa kerajaan GRS yang terbentuk atas mandat rakyat ini adalah satu gabungan terbaik untuk negeri kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Adun Apas itu berkata, kehadiran memberangsangkan daripada perwakilan dan pemerhati pada persidangan itu jelas menunjukkan ahli-ahli Bersatu Tawau sudah bersiap-sedia bekerjasama dengan parti-parti komponen GRS.
Terdahulu dalam ucapannya, Nizam berharap kerjasama dengan komponen GRS akan terus kukuh demi memastikan kerajaan yang kini berusia dua tahun terus kekal.
“Kekalkan kesatuan meskipun ada ‘puting beliung’… Siapa juga yang jadi calon, kita sokong dan pastikan kemenangannya,” katanya.
Nizam berkata, rakyat Sabah perlu menjaga mandat yang mereka beri kepada GRS yang membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu demi kesejahteraan negeri ini.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun di bawah GRS, kerajaan Sabah mencatat sejarah memperoleh pendapatan tertinggi iaitu mencecah RM5.449 billion berbanding kerajaan Warisan – Pakatan Harapan (PH) yang tiada pengalaman mentadbir.
Add Comment