Home » Kenakan hukuman berat kepada pemandu lori – Wanita LDP
Berita Tempatan Politik

Kenakan hukuman berat kepada pemandu lori – Wanita LDP

Jessie berkata bagi menangani pemanduan melebihi had laju ditetapkan, kerajaan perlu mengenakan denda berat kepada pelaku agar mereka sentiasa berhemah ketika memandu.

KOTA KINABALU: Hukuman berat wajar dikenakan kepada pemandu lori yang menyebabkan kematian dalam kemalangan di Jalan Lintas baru-baru ini sekiranya didapati bersalah.

Bendahari Pergerakan Wanita Pusat Parti Liberal Demokratik (LDP) Jessie Goh Soo Yee berkata, hukaman seperti membatalkan lesen memandu, denda berat dan sebagainya wajar dikenakan.

“Pemanduan secara berbahaya itu bukan sahaja menyebabkan kerosakan empat lagi kenderaan lain tetapi juga membawa risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Tindakan pemandu lori berkenaan tidak memperlahankan kenderaan ketika kejadian itu kini dikritik kerana memandu secara berbahaya, melebihan had laju ditetapkan, boleh mendatangkan bahaya kepada pemandu itu sendiri serta pengguna jalan yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. 

Beliau berkata, demi keselamatan semua pengguna jalan raya, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif bagi membendung perkara seumpamanya daripada berulang.

Katanya, memandu melebihi had laju selalunya menjadi punca utama kemalangan kerana boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan sehingga merosakkan harta benda dan kematian.

Menurutnya, bagi menangani pemanduan melebihi had laju ditetapkan, kerajaan perlu mengenakan denda berat kepada pelaku agar mereka sentiasa berhemah ketika memandu.

“Hukuman berat dilihat lebih berkesan untuk mendidik pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

“Pendekatan ini banyak diguna pakai oleh negara lain dalam usaha menangani pemanduan secara tidak berhemah,” katanya.

— TAMAT