Home » Hegemoni politik dan niat terbaik Gagasan Rakyat, GRS untuk Sabah
Berita Tempatan Politik Sudut Pandangan

Hegemoni politik dan niat terbaik Gagasan Rakyat, GRS untuk Sabah

Sekitar Majlis pelancaran Parti Gagasan Rakyat Sabah pada Mac 2023 yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.Selepas dilancarkan oleh beliau,Gagasan Rakyat terus mendapat perhatian dan menjadi bualan kalangan rakyat di seluruh pelusuk Sabah.

PARTI Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) atau  Gagasan Rakyat boleh diumpamakan sebagai sebutir objek yang berkelip dalam cahaya baharu – blingking in the new light. 

Anda dapat melihat objek itu dengan jelas serta dapat menatap keindahan cahaya kelipannya. 

Lalu,  hati kecil anda tergerak mahu mendekatinya dan apabila anda benar-benar sudah menghampirinya anda tiba-tiba pula rasa teringin sangat untuk menyentuh atau  menggenggamnya. 

Akhirnya, apabila hajat anda itu tercapai, anda semakin terpegun dan merasakan banyak lagi perkara yang menarik  tentang objek unik itu yang perlu diketahui sehingga anda sukar hendak melepaskannya. 

Anda tidak mahu melepaskan objek itu daripada genggaman anda, kerana anda merasa yakin bahawa objek itu mempunyai nilai yang tinggi dan anda perlu menyelidiki asal usulnya.   

Begitulah lebih kurang analogi ringkas mengenai Parti Gagasan  Rakyat Sabah. 

Selepas dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada  2 Mac  2023, Gagasan Rakyat terus mendapat perhatian dan menjadi bualan kalangan rakyat di seluruh pelusuk Sabah.

Maka jadilah parti Gagasan Rakyat seperti objek yang berkelip dalam cahaya baharu.

Masyarakat Sabah mula memberi tumpuan dan perhatian kepada parti itu atas berbagai sebab, sentimen, motivasi dan tafsiran tersendiri.

Di celah-celahnya, pasti  ada golongan yang tidak senang hati dengan kelahiran  parti berasaskan Sabah  itu, tetapi reaksi seumpama itu tidak semestinya dianggap  negatif, kerana pada hakikatnya, mereka juga  turut tertarik dan memberi perhatian kepada  parti politik yang dipimpin oleh Datuk Seri Hajiji Noor itu. 

NIAT TERBAIK

Justeru, persoalan paling menarik  ialah: Apakah moral impulse atau the best intention – niat terbaik –  di sebalik penubuhan Gagasan Rakyat?

Jawapan yang munasabah ialah bahawa rakyat Sabah dan negeri Sabah pada ketika ini memerlukan permulaan baharu dalam politik, dan dalam konteks ini, keperluan membina ekosistem politik yang lebih kondusif untuk rakyat dan negeri Sabah.   

Permulaan baru itu juga memerlukan anjakan paradigma politik yang mampu membawa kepada penyatuan rakyat pelbagai kaum dan agama di Sabah  serta  membawa kestabilan politik di negeri itu.  

Kekuatan itu akan mencergaskan Negeri Bawah Bayu, yang mempunyai penduduk seramai   3.54 juta orang, untuk bergerak ke hadapan, dengan keyakinan politik dan ekonomi. 

Seterusnya, niat terbaik Gagasan Rakyat itu dapat dilihat melalui komitmen parti itu yang menghormati aspirasi  ‘Rumah kita, kita jaga’ (We take care of our house).

Tetapi jangan salah faham. Aspirasi  “Rumah kita, kita jaga” sebenarnya adalah suara akar umbi di Sabah. Lebih tepat lagi, suara rakyat itu mahukan perubahan politik di Sabah. 

Begitupun, aspirasi ‘Rumah kita, kita jaga’ tidak mungkin dan sangat mustahil akan menyebabkan semangat kedaerahan mengatasi atau membunuh semangat patriotisma atau semangat kebangsaan.

Pertama, Hajiji sebagai pemimpin utama Sabah dan berpengalaman luas dalam  politik tanah air, sangat memahami komitmen dan tanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan hubungan baik dan akrab  Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan.

Hajiji juga faham bahawa memperkukuhkan kedudukan Sabah dalam sistem Persekutuan adalah lebih besar dan lebih luas manfaatnya, daripada cuba meminggirkan Sabah daripada naungan Persekutuan. 

Yang kedua, faktor kehadiran parti-parti politik berasaskan nasional yang bertapak di Sabah. 

Walaupun sejarah ‘fixed deposit’ sudah berlalu, tetapi parti-parti politik yang diasaskan di luar Sabah itu tetap mempunyai penyokong di Sabah, malah akan sentiasa berusaha memperluaskan pengaruhnya di kalangan rakyat negeri itu.  

Lalu, bagaimanakah aspirasi ‘Rumah kita, kita jaga’ dapat memanfaatkan rakyat dan negeri Sabah?

Pada asasnya, matlamat aspirasi itu ialah untuk mewujudkan peluang  kepada parti-parti politik berasaskan tempatan, yang dipimpin oleh anak jati Sabah,  untuk menjadi badan pembuat keputusan tertinggi (the highest decision making body).

Maknanya, rakyat Sabah sendirilah yang patut memberi peluang kepada parti-parti politik yang diasaskan di Sabah untuk menjadi  badan pembuat keputusan tertinggi, terutama sekali dalam hal-hal menjaga dan mengurus-tadbir  hal ehwal negeri Sabah, termasuklah juga hal-ehwal politik.

Dalam hubungan ini, Gagasan Rakyat dan GRS memiliki kriteria yang lengkap bagi mengisi aspirasi membina eko-sistem politik baharu di Sabah, perubahan yang sememangnya sangat diperlukan  oleh rakyat Sabah, yang pada ketika ini masih dibelenggui oleh ketidak tentuan politik. 

HEGEMONI POLITIK

Landskap politik Malaysia kini tidak ada lagi kuasa hegemoni politik, dengan  ketiadaan sebuah parti politik yang benar-benar dominan dan ini berlaku di peringkat nasional.

Sama ada kita suka atau tidak suka, kita perlu menyesuaikan diri dengan pengagihan kuasa dalam mencorak masa depan yang lebih makmur, mampan dan saksama. 

Di peringkat negeri Sabah pula, Gabungan Rakyat Sabah yang dipengerusikan oleh Hajiji telah tampil sebagai suatu kaedah terbaik dalam soal pengagihan kuasa. 

GRS bukan sebuah entiti tunggal (single entity), kerana parti-parti politik yang bergabung dalam GRS mewakili kumpulan etnik di Sabah. 

Yang terakhir, rakyat Sabah dan negeri Sabah memerlukan kuasa tawar-menawar semulajadi – natural bargaining power. 

Iaitu kuasa tawar-menawar politik semulajadi yang terbentuk atau dibentuk melalui solidariti perpaduan rakyat Sabah di bawah naungan dan pengurusan parti politik tempatan.  

Kuasa yang diharapkan itu terletak pada budibicara rakyat Malaysia di Sabah. 

GRS dan Gagasan Rakyat mempunyai kelebihan  untuk memikul harapan dan tanggungjawab itu.

*Emin Madi ialah seorang pemerhati politik da wartawan veteran Sabah

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment