Home » Sistem pendaftaran perkahwinan dan perceraian di Mahkamah Anak Negeri harus dipertingkatkan
Berita Tempatan Politik

Sistem pendaftaran perkahwinan dan perceraian di Mahkamah Anak Negeri harus dipertingkatkan

Datuk Maijol Mahap adalah seorang peguam kanan di Sabah yang pertama yang dilantik sebagai Peguam Anak Negeri. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat .

BANDAU – Terdahulu Kerajaan Sabah telah mengumumkan kenaikan gaji Pentadbir Adat di Sabah di mana gaji Ketua Daerah dinaikkan dari RM2700 kepada RM3500, Ketua Anak Negeri dari RM1700 kepada RM2500, Wakil Ketua Anak Negeri daripada RM900 kepada RM1300, dan Ketua Kampung dan Kapitan daripada RM700 kepada RM1200.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau, Datuk Maijol Mahap mengalu-alukan kenaikan tersebut. Beliau menganggap kenaikan gaji tersebut sebagai inisiatif kerajaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengubah sistem pengurusan Mahkhamah Anak Negeri.

“Saya amat menyokong usaha kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Kita, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, agar elaun pentadbir Adat dinaikkan dan selaras dengan dengan gaji penjawat awam yang lain. Ini merupakan satu pembaharuan yang positif.”

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Kampung Pinatau di sekitar kawasan Bandau pada Selasa.

“Saya memang mengetahui bahawa Kerajaan prihatin terhadap pentadbiran anak negeri di Sabah dan saya percaya kerajaan akan terus membuat pembaharuan terhadap Mahkamah Anak Negeri di Sabah“ ujar Maijol.

Beliau turut menyentuh mengenai sistem pendaftaran pernikahan dan pemfailan penceraian di Mahkamah Anak Negeri.

“Buat masa ini, pendaftaran perkahwinan dan perceraian bagi orang anak negeri adalah dibuat di Mahkamah Anak Negeri. Namun, kelemahannya ialah pendaftaran dan perceraian ini tidak dibuat secara ‘online’ dengan pejabat Mahkamah Anak Negeri yang lain dan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),

“Akibatnya ialah pihak Mahkamah Anak Negeri di daerah yang lain dan JPN tidak dapat mengetahui (“access”) kepada rekod samada seseorang yang ingin berkahwin masih bujang atau sudah berkahwin. Terdapat kes-kes di mana seseorang anak negeri berkahwin di JPN dan setelah berkahwin, diketahui bahawa dia sudah pernah berkahwin di Mahkamah Anak Negeri. Seharusnya dalam kes begini, perkahwinan keduanya ini seharusnya dibuat di Mahkamah Anak Negeri juga kerana undang-undang anak negeri tidak menghalang seseorang itu berkahwin lebih daripada satu isteri tertakluk kepada bayaran sogit . Kalau dia berkahwin di JPN, maka dia akan tertakluk kepada Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 di mana poligami adalah tidak dibenarkan”, katanya.

Maijol berkata, dalam kes ini apabila perkahwinan pertama didaftarkan di Mahkamah Anak Negeri dan perkahwinan isteri kedua didaftarkan di JPN (disebabkan kesilapan), maka akan timbul konflik undang-undang.

“Saya difahamkan bahawa apabila masalah seperti ini berlaku atau dikesan, maka siasatan terpaksa dibuat di mana satu daripada pendaftaran perkahwinan tersebut terpaksa dibatalkan. Biasanya yang dibatal adalah yang didaftarkan kemudian. Ini adalah sesuatu yang menyusahkan pihak Mahkamah Anak Negeri dan JPN.

“Oleh itu, adalah perlu pendaftaran perkahwinan dan perceraian di Mahkamah Anak Negeri dibuat secara ‘online’ dengan JPN dan semua pejabat Mahkamah Anak Negeri di Sabah.

Beliau juga berkata, “sebenarnya tujuan kita sebagai anak negeri adalah untuk menaikkan taraf Mahkamah Anak Negeri supaya ia adalah setaraf dengan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di Sabah. Untuk mencapai tujuan ini, banyak lagi pembaharuan yang perlu dibuat. Antaranya ialah Pentadbir adat di Mahkamah Anak Negeri seharusnya tidak tertakluk kepada politik di mana mereka tidak seharusnya diganti pada bila-bila masa tetapi dianggap sebagai kakitangan kerajaan yang tetap dan berpencen. Mereka juga harus didedahkan kepada kursus-kursus mengenai adat anak negeri. Saya harap Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) Sabah yang terletak di Penampang dapat digunakan dengan sebaik-baiknya untuk tujuan ini.”

“Saya mendapat tahu ia tidak beroperasi buat masa ini. Pihak yang berkenaan haruslah menjelaskan kepada anak negeri di Sabah apakah masalah yang dihadapi oleh mereka. Sistem pentadbiran Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah sebagai institusi kehakiman berada pada tahap yang tinggi tetapi Mahkamah Anak Negeri masih bergelut dengan pelbagai cabaran.

“Sebenarnya ILMAN juga boleh dijadikan sebagai pusat latihan dan kursus pendek kepada peguam-peguam di Sabah supaya mereka boleh mendaftar sebagai peguam Mahkamah Rayuan Anak Negeri. Buat masa ini, mereka diterima sebagai peguam Mahkamah Rayuan Anak Negeri dengan cara temuduga sahaja oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mana tidak memadai.

“Sepatutnya mereka ini dikehendaki mengikuti kursus undang-undang anak negeri dengan perisian yang ditentukan oleh pihak yang berkenaan seperti Jabatan Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah (Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah) dengan kerjasama Jabatan Peguam Negeri.

“Pentadbiran anak negeri dan Mahkamah Anak Negeri di Sabah harus dipertingkatkan juga dari segi prosidur pengendelian kes. Baru-baru ini, saya mengendalikan kes di Mahkamah Rayuan Anak Negeri di Kota Kinabalu di hadapan seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Anak Negeri. Perbicaraan tersebut terpaksa ditunda disebabkan tidak ada pengapit. Dua orang pengapit Hakim adalah perlu untuk perbicaraan dijalankan di Mahkamah Rayuan Anak Negeri. Pengapit itu adalah daripada kalangan Ketua Daerah atau Ketua Anak Negeri”, kata Maijol.

Datuk Maijol Mahap adalah seorang peguam kanan di Sabah yang pertama yang dilantik sebagai Peguam Anak Negeri. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat .

Turut hadir dalam majlis perjumpaan itu adalah Ketua-Ketua Cawangan Gagasan Rakyat dan Ahli-Ahli Jawatan Kuasa Bahagian Bandau.

-TAMAT-