Home » Penduduk Sabah teruja dengan keramahan Yang di-Pertuan Agong
Berita Tempatan Politik Sudut Pandangan

Penduduk Sabah teruja dengan keramahan Yang di-Pertuan Agong

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R M Jasni di Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam di Dewan Masyarakat Tawau,

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, memulakan Kembara Kenali Borneo di Tawau, dua hari lepas.

Ia dijangka membabitkan perjalanan sejauh kira-kira 2,149 kilometer selama 11 hari, menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.

Baginda berdua yang tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 3 petang 3 September lalu, disambut Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan jemaah Kabinet negeri.

Sebaik majlis pelepasan konvoi dilaksanakan, Al-Sultan Abdullah memandu sendiri kereta dengan ditemani Raja Permaisuri Agong, menyantuni masyarakat Tawau yang teruja menanti keberangkatan baginda berdua di sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke penginapan.

Baginda berkenan berulang kali berhenti dan turun dari kenderaan untuk bersalaman dan bergambar dengan penduduk yang menanti di tepi jalan utama.

Keramahan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dalam menyantuni rakyat ini dipuji semua lapisan masyarakat yang menyaksikan sendiri dan merasai peluang berharga yang jarang dikecapi itu.

Sambutan luar biasa itu turut dirakam dan dimuat naik di dalam media sosial oleh orang ramai sebagai kenangan yang tidak akan dilupakan.

Perbualan spontan sebahagian penduduk yang dirakam secara tidak langsung bersama baginda berdua, menunjukkan penduduk begitu teruja menerima kunjungan diraja itu.

Dalam keterujaan itu, ada sebahagian yang celaru menggunakan istilah dan bahasa sehingga mengundang pelbagai komen netizen di media sosial.

Situasi ini dirasakan agak jangal dengan amalan masyarakat Malaysia yang hidup dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Terdapat beberapa komen netizen yang mendakwa penduduk itu terlalu teruja bertemu dengan Baginda Yang di-Pertuan Agong secara bersemuka, sehinggakan tidak sedar apa yang diungkapkan.

Apapun, semua itu adalah gambaran keterujaan penduduk terhadap keramahan Baginda berdua menyantuni rakyat negeri ini menerusi Kembara Kenali Borneo.

Penulis mengharapkan agar perjalanan Baginda berdua di bumi Borneo ini, meninggalkan kenangan terindah bersama penduduk di sepanjang laluan merentasi wilayah yang terpisah dari Semenanjung oleh Laut China Selatan.

*Vivi Olviana Najurus ialah seorang penulis dan wartawan Utusan Borneo