Home » Tiga tahun pantas berlari, Hajiji berhasil membangun negeri
Berita Tempatan Politik Sudut Pandangan

Tiga tahun pantas berlari, Hajiji berhasil membangun negeri

Hajiji berkata Dasar Kabotaj yang mewajibkan semua kapal pergi ke Pelabuhan Klang terlebih dahulu dan memuatkan kargo mereka ke kapal berdaftar MISC yang menuju ke Sabah telah ditarik balik.

WAKTU remaja dulu-dulu, lagu `Ingatan Manis Di  Bulan September’ menjadi siulan anak muda. Kisahnya tentang kenangan terindah. Perkenalan dan percintaan dua sejoli.

Ia terus berkumandang berdekad lamanya. Tetap segar dan membugar minda. Sungguh nostalgik meskipun penyanyinya, almarhum Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini, sudah sembilan tahun berpulang ke negeri abadi (1953-2014).

Lirik lagu itu merakam kenangan abadi. Jauh terpahat ke dalam lubuk hatinya. Justeru, ia sentiasa diingati setiap kali tibanya bulan September.

Hakikatnya, lagu `Ingatan Manis Di Bulan September’ itu juga mempunyai kenangan indah lagi bersejarah di panggung politik di negeri Sabah.

Kerana pada bulan September tiga tahun lalu, baton kuasa pemerintahan negeri beralih ke tangan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor. Tepatnya pada 29 September 2021, tarikh bersejarah beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 di waktu pandemik COVID-19 belum mereda.

Tiga tahun pantas berlalu. Masa bergerak laju. Rasanya seperti baru semalam istiadat angkat sumpah itu berlaku.

Hari ini sudah seminggu kita di bulan September. Diperkirakan tiga minggu lagi, genap tiga tahun Hajiji mentadbir negeri ini.

Yang nyata, sepanjang tiga tahun itu, Hajiji pantas berlari sehingga berhasil membangunkan negeri.

Prinsipnya jelas dan tuntas. Tanpa menoleh ke belakang untuk melihat jejak-jejak yang ditinggalkan, Hajiji terus melangkah. Demi untuk mengejar pembangunan yang tertinggal jauh akibat hayunan politik pendulum sepanjang enam dekad lalu.

Hajiji adalah petarung sejati. Di sebalik sifat rendah hati, beliau tidak menyerah ketika kesulitan menghadang. Tidak putus asa ketika halangan menerjang.

Kerana baginya, kesulitan dan halangan menjadi iltizam memicu kesuksesan. Matlamat utama adalah untuk membangun negeri, memakmurkan rakyat.

Tiga tahun berlalu, Sabah di bawah naungan pemerintahan Hajiji sudah melakar banyak kejayaan yang nyata dari segi data. Dan jelas dari sudut fakta.

Tidak syak lagi, Sabah  berada di landasan tepat untuk terus maju dan membangun.

Paksinya bersandar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai pemicu dasar pembangunan negeri.

Sebab itulah, ketika sambutan Hari Sabah di Tambunan pada 31 Ogos lepas, Hajiji turut berkongsi beberapa kejayaan yang dicapai kerajaan negeri sepanjang tiga tahun ini.

Antara bukti kejayaan itu ialah pencapaian dalam sektor pembangunan ekonomi apabila perdagangan Sabah telah mencapai rekod tertinggi dalam sejarah.

Pada tahun lalu, perdagangan Sabah bernilai RM118.1 bilion berbanding RM87.2 billion pada tahun 2021.

Peningkatan sebanyak 35.4% itu adalah hasil pertumbuhan ekonomi yang positif sejak kebelakangan ini, manakala nilai perdagangan itu dijangka terus meningkat.

Adalah fakta jelas bahawa dalam dua tahun pertama pemerintahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), banyak kejayaan dicapai dalam aspek tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Antaranya termasuk dalam sektor minyak dan gas. Sudah pun diumumkan aru-baru ini, SMJ Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri diberikan Penarafan AAA oleh Risk Assessment Model Ratings (RAM Ratings) untuk menaikkan sukuk bernilai RM10 bilion selepas syarikat itu dianggap sangat strategik kepada kerajaan negeri sebagai kenderaan untuk memperjuangkan sumber minyak dan gas negeri Sabah.

Selain itu, kerajaan turut menstukturkan semula Bank Pembangunan Sabah (SDBank) yang kini diletakkan di bawah bidang kuasa Ketua Menteri, mengikut Ordinan Perbadanan Ketua Menteri.
SDBank yang sebelum ini di bawah Sabah Development Berhad, kini terletak di bawah pemantauan Kementerian Kewangan Negeri.

Dengan langkah itu, SDBank kini boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap pembangunan ekonomi, sosial dalam masa sama melindungi alam sekitar ketika melaksanakan projek di Sabah.

Satu lagi pencapaian kerajaan pimpinan Hajiji ialah kejayaan menarik lebih daripada RM33 bilion nilai pelaburan dan memperoleh hasil sebanyak RM7 bilion, yang tertinggi sejak mencapai kemerdekaan.

Inilah sebahagian rekod kejayaan pemerintahan yang bermula pada September 2021, sekali gus mengimbau indahnya kenangan masa lalu yang berlaku terakam pada bulan September.

Benarlah bait ungkapan lirik penghujung lagu itu, yang berbunyi “Ku gembira, berdamping denganmu, September selalu kunantikan.”

*Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai seorang pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.