Home » Membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam – Hajiji
Berita Tempatan Politik

Membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam – Hajiji

“Let us put politics aside and discard any divisiveness that will only pull us apart." - Hajiji

TUARAN: Penjawat awam di Sabah perlu terus membudayakan budaya kerja unggul,  berintegriti dan cemerlang yang menjadi asas kepada peningkatan produktiviti sesebuah organisasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam sangat penting untuk memastikan hala tuju, visi dan misi kerajaan dapat dicapai serta dilaksanakan dengan jayanya.

Menurutnya, Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) menuntut keberkesanan dan kecekapan penyampaian serta kecemerlangan tadbir urus yang berintegriti, agar ia dapat dilaksanakan seperti direncanakan kerajaan. 

“Justeru tahap integriti yang tinggi perlu ada pada diri setiap penjawat awam bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa cemerlang. Perkara ini penting dalam memastikan rakyat dapat menikmati hasil sebenar perkhidmatan berkualiti yang disampaikan oleh penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Program Enhancing Integrity Project (EIP) sempena Program Pegawai Integriti Bertauliah (Certified Officer) (CeLO) Siri 36, Bil 3 Tahun 2023 di sini pada Sabtu. 

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Dr. Ahemad Sade.

Hajiji berkata, perkhidmatan awam adalah komponen penting dalam melaksanakan aspirasi kerajaan dan kehendak rakyat dengan cekap dan cepat.

“Penjawat awam wajar menunaikan amanah dan kewajipan dengan penuh taat setia dan berintegriti dalam apa juga tugas yang dilaksanakan. Amat penting mereka mengekalkan integriti demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, integriti tidak terhad kepada aktiviti yang berunsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sahaja malah dalam aspek penyampaian dan penyebaran maklumat terutamanya di media sosial.

Menurutnya, cabaran kepada kerajaan dan perkhidmatan awam ialah menangkis maklumat yang tidak tepat, sensitif yang boleh memecah belahkan perpaduan dan menimbulkan kesan negatif kepada masyarakat, demi mengukuhkan integriti perkhidmatan awam negeri.

Hajiji berkata, pelaksanaan program Pegawai Integriti Bertauliah untuk pegawai awam negeri ini merupakan antara komitmen kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh keberkesanan dan kecekapan penyampaian serta kecemerlangan tadbir urus baik yang lebih berintegriti.

Beliau percaya program Pegawai Integriti Bertauliah yang pertama kali dilaksanakan itu dapat mengukuhkan lagi pengurusan integriti perkhidmatan awam negeri, khususnya dalam memastikan pembudayaan, penginstitusian, pengesanan dan pengesahan aduan salah laku rasuah atau tatatertib serta menasihati pihak pengurusan dalam aspek integriti.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha memerangi rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di segenap lapisan perkhidmatan. 

Menurutnya, program dan latihan akan terus dilaksanakan dalam usaha memperkukuhkan kesedaran setiap anggota perkhidmatan awam dan masyarakat umum terhadap kepentingan menjaga, membudayakan integriti dalam kehidupan serta pekerjaan.

Hajiji juga berharap program Pegawai Integriti Bertauliah itu dapat diteruskan di masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai lagi Pegawai Integriti Bertauliah di Sabah dalam usaha menginstitusikan pembudayaan integriti kepada penjawat awam dan masyarakat umumnya. 

Seiring dengan keperluan melestarikan integriti di negeri ini, beliau mencadangkan supaya kumpulan Pegawai Integriti Bertauliah Negeri Sabah terus diperkasakan dan dijadikan sebuah institusi integriti di bawah kawalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Yap Siong Han

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment