Home » Tamu Kantor, Padas Damit dibuka setiap Selasa
Berita Tempatan Politik

Tamu Kantor, Padas Damit dibuka setiap Selasa

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam telah melancarkan Tamu Mingguan Kantor ( Zon Padas Damit), yang terletak di pekan Padas Damit. Tamu ini adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada peniaga peniaga khususnya dari Padas Damit dan sekitarnya bagi memasarkan hasil produk mereka seperti pertanian, perikanan dan juga pembuatan (kuih muih dan lain lain) agar dapat mereka menjana ekonomi.

BEAUFORT: Para peniaga, nelayan, petani dan usahawan di Padas Damit dan sekitarnya kini boleh menjana pendapatan hasil pembukaan Tamu Kantor di Padas Damit setelah dilancarkan secara rasmi oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam pada Selasa.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, tiba masanya Tamu Kantor Padas Damit ‘dihidupkan semula’ setelah sekian lama tidak aktif dengan aktiviti ekonomi suatu ketika dahulu semasa mempunyai pusat pejabat urusetia.


“Melalui pembukaan semula Tamu Kantor Padas Damit saya percaya usaha ini akan memberi manfaat kepada para peniaga yang terlibat terutama para nelayan dan petani di sekitar Padas Damit.


“Saya juga yakin tamu ini akan memudahkan penduduk Padas Damit dan sekitarnya untuk mendapatkan keperluan harian tanpa perlu pergi jauh ke Pekan Beaufort.


“Oleh itu saya mempelawa orang ramai terutama di kawasan berhampiran untuk mengunjungi Tamu Kantor pada setiap Selasa untuk mendapatkan keperluan harian segar dengan harga yang berpatutan, ” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan memberitahu, bagi memastikan suasana Tamu Kantor lebih selesa dan kondusif untuk pengunjung dan peniaga, beliau bersama Majlis Daerah Beaufort akan mencari usaha untuk menambahbaik keperluan disitu supaya lebih menarik dan mempunyai keunikan tersendiri.


“Padas Damit mempunyai sejarah perperangan yang tidak ramai tahu dan ia dilihat satu tarikan kepada pengunjung. Banyak juga potensi pelancongan yang boleh dibawa di Padas Damit antaranya seperti kayuhan perahu, sambil berkunjung ke tamu mungkin boleh naik perahu.


“Selain itu, terdapat juga pembangunan yang akan dibawa ke Padas Damit iaitu sepuluh lot kedai yang terletak tidak jauh daripada tapak Tamu Kantor yang bermula pembinaannya pada tahun hadapan.

“Dengan adanya Tamu Kantor, lot kedai Padas Damit dan aktiviti pelancongan nanti, tentunya Padas Damit akan kembali meriah seperti suatu ketika dahulu dengan kegiatan ekonomi sekaligus membantu meningkatkan pendapatan masyarakat setempat, ” katannya.

— Kenneddy Corlleus