Home » Kejayaan pencapaian kerajaan GRS bukan retorik
Berita Tempatan Politik Sudut Pandangan

Kejayaan pencapaian kerajaan GRS bukan retorik

Kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan GRS di bawah pimpinan Hajiji dalam tempoh tiga tahun adalah suatu permulaan yang baik dan meyakinkan.

KETUA Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor mempunyai asas untuk memberitahu rakyat Sabah bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mencapai banyak kejayaan sejak pemerintahannya tiga tahun yang lepas.

Hajiji tidak beretorik dan bukan juga ibarat tin kosong.

Beliau tahu bahawa rakyat mengetahui apa yang berlaku di Sabah sepanjang tiga tahun kebelakangan ini.

Bukan itu sahaja. Rakyat juga akan senantiasa memerhati dan meneliti apa yang sedang dan akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Maknanya, membuat pengumuman tentang sesuatu perkara besar dan penting, lebih-lebih lagi yang berhubung kait dengan isu kepentingan rakyat dan negeri Sabah, perlu ada kebertanggungjawaban.

Sebagai Ketua Pentadbir Kerajaan Negeri Sabah, Hajiji berkewajipan untuk memberitahu rakyat tentang apa yang telah dicapai atau dilakukan oleh Kerajaan GRS dari semasa ke semasa.  

Dalam konteks ini, rakyat memang berhak untuk mengetahui dan diberitahu tentang apa yang telah dicapai oleh Kerajaan GRS sejak ia memerintah tiga tahun yang lalu.

Naratifnya bukanlah tentang Hajiji dan Kerajaan GRS semata-mata, tetapi tentang nasib dan masa depan negeri dan rakyat Malaysia di Sabah keseluruhannya.  

Jika direnungi, kenyataan Hajiji mengenai pencapaian kejayaan Kerajaan GRS dalam tempoh tiga tahun itu sebenarnya mempunyai pengertian dan mesej yang luas.

Pertama, ia menggambarkan tentang keyakinan Hajiji terhadap kekuatan kesepaduan dan kerjasama erat di kalangan parti-parti komponen GRS, dan juga soal sokongan padu para pemimpin dan anggota parti-parti komponen itu terhadap kepimpinan Hajiji.

Yang kedua, keyakinan dan tanda penghargaan Hajiji terhadap keupayaan dan sumbangan para penjawat awam dari pelbagai jabatan, agensi Kerajaan negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan dasar-dasar Pembangunan Kerajaan, mengikut matlamat  dasar Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Tanpa kerjasama, sumbangan dan peranan penjawat awam, Kerajaan negeri atau mana-mana Kerajaan pun tidak mungkin dapat berfungsi sepenuhnya untuk mengurus-tadbir negeri dengan cekap dan efisien.

Justeru, jika ada pihak yang mahu memperkecil-kecilkan keupayaan Kerajaan negeri dan dalam hal ini cuba menafikan kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan GRS, bermakna mereka seolah-olah tidak menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap kebolehan para pegawai dan kakitangan awam.  

Ketiga, keyakinan Hajiji terhadap pentingnya memelihara dan mengekalkan hubungan dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kerana beliau faham bahawa hubungan dan kerjasama itu merupakan kekuatan sistem Persekutuan.

Keempat dan yang paling penting sekali ialah bahawa tiga tahun yang berlalu itu mempunyai naratif menyedihkan, berpunca daripada peristiwa ‘langkah Kinabalu’ yang cuba menggugat kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Sekiranya insiden itu gagal ditangani, atau dengan kata lain ‘langkah Kinabalu’ itu berjaya, maka rakyat dan Negeri Sabah pasti akan terus dibebani oleh suasana politik yang tidak menentu, sekaligus merencatkan momentum pembangunan serta menghalang Kerajaan GRS untuk melaksanakan mandat dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya untuk mengurus-tadbir negeri.    

Bagaimanapun, kemelut politik itu berjaya diatasi hasil daripada kebijaksanaan serta ketegasan para pemimpin dan anggota parti-parti politik komponen GRS yang terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Hajiji.

Dari satu sudut, tempoh sepanjang tiga tahun yang lalu juga telah memperlihatkan bagaimana suasana politik yang tenang dan stabil boleh membawa kesan signifikan dan positif terhadap kehidupan rakyat.

Pengajaran penting yang kita pelajari daripada tiga tahun itu adalah umpama permulaan sebuah impian besar untuk kehidupan yang lebih baik – a huge dream of a better life.

Betapa tidak, tiga tahun itu sesungguhnya telah menzahirkan sebuah manifestasi kuasa, keindahan dan kelebihan tentang kestabilan politik.

Bayangkan, dengan ketenangan dan kestabilan politik selama tiga tahun, rakyat menjadi lebih selesa dan lebih fokus untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian, tidak dibebani dan digelisahkan oleh huru hara dan gempar gulita politik. 

Manakala para pemimpin kerajaan pula dapat menumpukan segala usaha, masa dan tenaga   untuk menyantuni rakyat, melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan untuk membela dan membangunkan rakyat dan negeri, seiring dengan visi dan misi  Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Hakikatnya, dasar pembangunan Sabah Maju Jaya sangat mustahil dapat dilaksanakan sepenuhnya atau secara serentak dalam tempoh masa yang singkat.

Perlu dinyatakan bahawa SMJ mempunyai tiga teras utama iaitu pertama sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan; kedua modal insan dan kesejahteraan rakyat dan ketiga jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.

Sewaktu dilancarkan pada 29 Mac 2021, SMJ meletakkan sasaran pelaksanaan 584 program spesifik, yang merangkumi 304 inisiatif teras dan 280 inisiatif pemboleh daya. Inisiatif teras bermaksud daya usaha atau gerak pertama.

Kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan GRS di bawah pimpinan Hajiji dalam tempoh tiga tahun adalah suatu permulaan yang baik dan meyakinkan.

Dengan kesungguhan dan iltizam politik yang ditunjukkan oleh  Hajiji dan Kerajaan GRS  dalam tempoh tiga tahun, tiada sebab mengapa rakyat Sabah terlalu berkira sangat untuk terus memberi sokongan serta memberi peluang kepada Hajiji dan GRS untuk meneruskan agenda  menterjemahkan misi dan objektif Sabah Maju Jaya.

*Penulis Emin Madi adalah wartawan veteran Sabah.