Home » 140 tahun komitmen F&N dalam industri terus kukuh
Berita Tempatan Politik

140 tahun komitmen F&N dalam industri terus kukuh

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata kerajaan negeri sentiasa menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif yang dilakukan oleh F&N terutama dalam konteks menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

KOTA KINABALU: Kejayaan syarikat Fraser & Neave (F&N) Holdings Berhad bertahan selama 140 tahun dalam industri membuktikan komitmen berterusan syarikat berkenaan khususnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, pencapaian itu juga memperlihatkan negeri ini lokasi yang ideal untuk perniagaan berkembang secara dinamik dan berdaya saing.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan ini berkata, komitmen F&N Holdings Berhad terhadap negeri Sabah turut menjadi sumber inspirasi kepada semua pemain industri sejak berdekad lamanya.

“Pelaburan mereka bukan demi kejayaan sendiri tetapi juga memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah.

“Usaha syarikat ini dalam mengukuhkan pembangunan industri tempatan dan peningkatan ekonomi Sabah menjadi satu bukti keberkesanan dalam industri makanan dan minuman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Pelancaran Media Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-140 F&N di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif yang dilakukan oleh F&N terutama dalam konteks menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Difahamkan, jumlah pekerja secara langsung ialah seramai 200 orang dan secara tidak langsung yang terdiri daripada pengedar dan pembekal seramai 300 orang.

“Saya yakin dengan potensi yang ada di negeri ini akan memberikan satu impak pembangunan yang amat positif di Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha F&N yang menyokong inisiatif sektor pendidikan dalam mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran dan pengetahuan.

Pada majlis itu, Joachim turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Poster Digital sempena Hari Kebangsaan yang ke-66 anjuran F&N Holdings Berhad dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu.

Pertandingan itu bertujuan mencungkil bakat dan meningkatkan kemahiran insaniah pelajar melalui pendedahan kepada teknologi terkini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Operasi Komersial Domestik (Malaysia Timur & Brunei) F&N Holdings Bhd Graham Lim.

— Siti Aisyah Narudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment