Home » DNAA Zahid: Sedia berdepan tentangan lebih buruk, kata Syed Saddiq
Berita Dalam Negara Politik

DNAA Zahid: Sedia berdepan tentangan lebih buruk, kata Syed Saddiq

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ‘gelombang tidak puas hati’ akan menjadi lebih buruk susulan keputusan mahkamah.
Presiden Muda ramal kerajaan akan hilang sokongan pada PRU akan datang.

PETALING JAYA: Tentangan terhadap keputusan Zahid Hamidi dilepas daripada kes rasuah akan menjadi lebih teruk pada pilihan raya akan datang, kata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq berkata, ada pandangan mengatakan rakyat akan lupa perkara itu yang disebutnya sebagai cubaan “membersihkan reformis dan orang baik” berkait hal itu.

“Tapi, saya boleh beritahu anda golongan kelas pertengahan, cerdik pandai Melayu sedang ‘marah’.

“Mereka ‘naik angin’ dan jumlahnya makin banyak. Lebih banyak anda buat perkara macam ini, lebih lagi anda akan hilang sokongan,” katanya dalam BFM The Breakfast Grille.

Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian sebagai mengulas keputusan partinya menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan kerana kes Zahid.

Tindakan keluar Muda menjadikan gabungan parti memerintah kurang satu kerusi untuk menjadikan kekuatan kerajaan perpaduan satu pertiga, 148 kerusi.

Syed Saddiq juga berkata ada pihak lain juga berpendapat tumpuan sepatutnya terarah kepada penentangan terhadap “gelombang hijau”, merujuk peralihan sokongan kepada pembangkang pada PRU lalu dan PRN enam negeri, baru-baru ini

“Saya tidak fikir sebab ‘gelombang hijau’, ia lebih kepada gelombang tidak puas hati dan anti-rasuah yang mana menjadi lebih teruk selepas ini susulan keputusan mahkamah.”

Awal bulan ini, Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) terhadap semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT), dan pengubahan wang.

Beliau dituduh menggelapkan jutaan ringgit daripada yayasannya, Yayasan Akalbudi, dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika menjadi menteri dalam negeri, antara 2013 hingga 2018.

— FMT