Home » Rakyat Malaysia bersatu ‘Segulai Sejalai’ pada Hari Malaysia 2023
Berita Dalam Negara Politik

Rakyat Malaysia bersatu ‘Segulai Sejalai’ pada Hari Malaysia 2023

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Abang Johari Openg, dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2023. (Gambar Japen)
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Abang Johari Openg, dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2023. (Gambar Japen)

PETALING JAYA: Lebih 5,000 hadir di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak, malam tadi, dalam menyemarakkan sambutan Hari Malaysia 2023 sambil menjiwai semangat “Segulai Sejalai”, bermaksud “Berjalan Seiringan”.

Sambutan dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, dengan ketiga-tiga pemimpin itu secara simbolik menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2023.

Hadir sama Pemangku Yang di-Pertua Sarawak Asfia Awang Nassar, Jemaah Menteri, dan pemimpin kerajaan Sabah dan Sarawak.

Sambutan dimulai dengan persembahan bertema ““Overture-Soul of Malaysia”, membawa simbolik penyatuan tiga wilayah Malaysia – Semenanjung, Sabah, dan Sarawak.

Konsep kreatif itu hasil kerjasama antara pelbagai institusi, termasuk Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sarawak, Sekolah Seni Malaysia Sarawak, dan Jabatan Bomba Sarawak.

Acara dimeriahkan bersama perarakan bendera Malaysia, yang dibawa konvoi dari Jabatan Penerangan dengan Jalur Gemilang dinaikkan tentera laut.

Afiq Fadhli Narawi, yang juga Ikon Muda Sarawak 2023, mengetuai bacaan Rukun Negara.

Beliau disertai 60 pemuda lain sebagai tanda memperingati 60 tahun pembentukan Malaysia.

Sambutan itu juga menyajikan persembahan muzikal “Segulai Sejalai”, yang dibahagi kepada tiga segmen tema berasingan.

Segmen berkenaan merangkumi kepelbagaian dengan semangat Malaysia disepadukan, menumpukan kepada tema kemampanan budaya dan integriti beragama.

Keseluruhannya, majlis sambutan tersebut meraikan kesatuan, komuniti, dan kepelbagaian identiti rakyat Malaysia.

Hariz Hafiz