Home » Jangan halang ahli politik bersuara, Ayob Khan diberitahu
Berita Dalam Negara Politik

Jangan halang ahli politik bersuara, Ayob Khan diberitahu

Dr Afif Bahardin berkata Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay harus faham perhimpunan ‘Selamatkan Malaysia’ PN Sabtu lalu mengenai kebimbangan rakyat.
Adun PN Dr Afif Bahardin berkata timbalan ketua polis negara sepatutnya memahami keperluan untuk menyuarakan kebimbangan rakyat.

KUALA LUMPUR: Dr Afif Bahardin daripada Perikatan Nasional (PN) berkata, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay tidak seharusnya menghalang ahli politik bersuara mengenai kebimbangan rakyat.

“Jangan halang ahli politik daripada bersuara. Dia kini timbalan KPN, bukan ketua bahagian antikeganasan lagi.

“Dia sepatutnya melihat kita sebagai sebahagian daripada masyarakat Malaysia. Kami sayangkan negara kami, dan mahu pembaharuan dan hak rakyat dipertahankan.

“Kami bersuara untuk rakyat,” kata Afif selepas memberi keterangan di IPD Dang Wangi.

Adun Taman Medan itu berkata, Ayob juga harus memahami perhimpunan “Selamatkan Malaysia” PN pada Sabtu adalah mengenai kebimbangan rakyat.

Terdahulu, polis merekodkan keterangan daripada 10 individu terlibat dalam perhimpunan 16 Sept lalu.

Ahli politik PN dan NGO berarak dari Masjid Jamek, Kampung Baru, ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan terhadap pembebasan bersyarat Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi atas tuduhan rasuah.

Polis berkata perhimpunan itu “haram”, selepas menolak permohonan PN untuk mengadakan perarakan, mendakwa maklumat diberikan tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan bawah Akta Perhimpunan Aman.

Sementara itu, Tun Faisal Ismail Aziz, penganjur bersama perhimpunan itu, memberitahu pemberita proses mengambil keterangannya berjalan “lancar”.

Katanya, beliau salah seorang daripada 10 individu dipanggil hari ini untuk membantu polis dalam siasatan mereka, sambil menambah tiada sesiapa didakwa setakat ini.

“Buat masa ini, mereka hanya ambil keterangan,” kata pemimpin Bersatu itu.

Tun Faisal berkata, beliau disoal siasat mengenai perhimpunan itu dan laporan polis dibuatnya mengenai Zahid.

Katanya, perhimpunan itu berjalan dengan aman.

“Setahu saya, tidak ada pertembungan antara kami dan polis, atau kerosakan mana-mana harta-benda. Saya rasa ini bermakna semuanya berjalan dengan aman tanpa provokasi atau konflik,” katanya.

Rex Tan