Home » Kerajaan lulus pelan induk guna tanah ECRL
Berita Dalam Negara Politik Uncategorized

Kerajaan lulus pelan induk guna tanah ECRL

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-42 hari ini. (Gambar Facebook)
Perdana menteri berkata dokumen itu akan memacu pembangunan di sekitar 20 stesen dan sepanjang laluan ECRL yang dikenal pasti.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-42 hari ini bersetuju meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), atau dikenali sebagai PeGTaECRL.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata dokumen itu akan memacu pembangunan di sekitar 20 stesen dan sepanjang laluan ECRL yang dikenal pasti.

“MPFN menjadi platform bagi kerajaan persekutuan berbincang dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, selaras Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Putrajaya.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan.

Perdana menteri juga berkata ia selari dengan transformasi industri automotif negara ke arah peralihan masa depan yang lebih mesra alam dan mampan.

“Ketersediaan infrastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini,” katanya.

Anwar berkata MPFN Ke-42 juga bersetuju dengan keperluan pemakaian Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara oleh agensi persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penterjemahan cadangannya dalam dokumen rancangan tempatan untuk kawalan perancangan dan guna tanah peringkat tempatan.

Bernama