Home » Amal integriti dalam perkhidmatan: Joachim
Berita Tempatan Politik

Amal integriti dalam perkhidmatan: Joachim

KOTA KINABALU: Warga Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran mengamalkan integriti dalam perkhidmatan kepada masyarakat. 

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri KKTP Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata setiap kakitangan yang melaksanakan amalan ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat serta komuniti.


“Saya percaya setiap bidang perkhidmatan mempunyai cabaran tersendiri dalam memperjuang dan menghayati erti integriti yang perlu dipegang dan disematkan dalam setiap kakitangan.


“Pengurusan harian sebagai seorang penjawat awam seharusnya berpaksi kepada integriti yang disemat pada diri masing-masing memandangkan setiap keputusan dan tindakan yang diambil perlu dilaksanakan secara telus dan amanah.


“Jadikan kepentingan organisasi sebagai panduan dan elakkan mengutamakan kepentingan diri berikutan kebanyakkan kes pecah amanah adalah disebabkan kepentingan peribadi sehingga mengabaikan tugas, tanggungjawab dan peranan sebagai kakitangan perkhidmatan awam,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Program Minggu Integriti Kementerian (MIK) Tahun 2023 KKTP, di Dewan Sri Putatan, Putatan semalam.


MIK adalah acara tahunan bagi peringkat KKTP tahun ini ia diraikan dengan tema “Integriti Teras Budaya Kerja Cemerlang” yang memberi penekanan kepada penerapan sikap kerja berintegriti dalam kalangan kakitangan.


Sambutan ini juga menunjukkan komitmen KKTP dan PBT dalam membudayakan dan menyemarakkan integriti dalam kalangan warga kerja kementerian dan PBT.


Joachim berkata antara objektif utama MIK ini adalah memantapkan dan membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam secara menyeluruh, berkesan dan berterusan.


“Usaha ini juga bagi meningkatkan kesedaran serta kefahaman berkaitan isu-isu integriti dalam kalangan penjawat awam negeri serta memperkukuh komitmen dan kerjasama sektor awam dalam mempertingkat penglibatan masyarakat dalam program pengukuhan integriti.


“Mesej berkenaan integriti dan kepentingan integriti dalam penyampaian perkhidmatan turut disebarkan dalam program seumpama,” katanya.


Beliau berkata pelbagai program sudah dirancang bersempena dengan MIK 2023, antaranya ceramah daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah.


“Pertandingan Modul Pejabat Terbaik melibatkan PBT dan agensi yang akan dinilai oleh pihak Bahagian Integrit dan Governans Negeri Sabah, SPRM dan MAMPU turut dijalankan dengan penyertaan langsung Majlis Daerah Penampang, Putatan dan Tuaran yang akan dilaksanakan dalam majlis penutupan MIK 2023 Sabtu depan.


“Tahniah dan terima kasih kepada Majlis Daerah Putatan, Majlis Daerah Lahad Datu, Majlis Daerah Papar, Majlis Daerah Tambunan, Majlis Daerah Beaufort, Majlis Daerah Semporna, Majlis Daerah Kuala Penyu, Lembaga Bandaran Kudat, Majlis Daerah Telupid, Majlis Daerah Kota Belud, Majlis Daerah Keningau dan Bahagian Sumber Manusia PBT, KKTP dengan penyertaan ini.


“Diharap dengan pelaksanaan MIK 2023 ini mampu meningkatkan kefahaman penghayatan dan kesedaran mengenai kepentingan integriti dalam kehidupan dan pekerjaan,” katanya.


Turut hadir ialah Pembantu Menteri I dan II KKTP, Datuk Isnin Alisanih dan Datuk Mohd. Hamsan AWANG Supain, Setiausaha Politik kepada Joachim Jonnybone Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Dr. Jamili Nais, Timbalan Setiausaha Tetap II Faridah Giau dan wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah,  Alexander S. Kunghi.

— Vivi Olviana Najurus

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment