Home » Belia di Sabah diminta berjuang bersama Gagasan Rakyat
Berita Tempatan Politik

Belia di Sabah diminta berjuang bersama Gagasan Rakyat

Nizam (kanan) menerima cendera kenangan daripada Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Apas,Nurul Afiqah.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berharap belia sama ada lelaki atau wanita di Sabah akan menjadi pemimpin yang hebat pada masa hadapan supaya negeri tercinta ini terus maju setanding dengan negeri lain di Malaysia.

TAWAU: Belia di Sabah diminta supaya berjuang bersama dengan wadah politik Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) demi menjaga pembangunan dan kepentingan rakyat di negeri ini.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, golongan belia tidak seharusnya malu dan segan untuk berkecimpung dalam dunia politik.

Katanya, mereka perlu menjadi nadi dan pejuang dalam menentukan kestabilan politik khususnya bersama dengan parti yang 100 peratus beridentitikan negeri Sabah.

“Belia yang sudah berumur 18 tahun ke atas perlu memainkan peranan penting dan menyumbang sesuatu untuk negeri ini bersama dengan golongan dewasa.

“Justeru, saya mengalu-alukan semua golongan belia di negeri ini bersama-sama dengan perjuangan Gagasan Rakyat supaya Sabah terus dipimpin oleh parti tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Bahagian Apas, di sini hari ini.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, perjuangan Gagasan Rakyat adalah membela nasib rakyat dan memajukan pembangunan Sabah yang sudah jauh ketinggalan.

Menurutnya, pembangunan di Sabah sangat jauh ketinggalan berbanding dengan negeri lain di Malaysia khususnya dari aspek infrastruktur dan peluang-peluang pekerjaan.

“Saya berharap, rakyat di negeri terus menyokong parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana banyak kejayaan sudah dilakar terutamanya meningkatkan ekonomi Sabah selama tiga tahun memerintah,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua jawatankuasa serta ahli Beliawanis Bahagian Apas kerana berjaya menunaikan tanggungjawab untuk hadir dalam persidangan ini.

“Saya mahukan semua ahli Beliawanis di Bahagian Apas ini terus berkerja keras bagi memastikan Parti Gagasan Rakyat terus diterima dan relevan oleh golongan muda.

“Belia sama ada lelaki atau wanita di Sabah diharapkan boleh menjadi pemimpin yang hebat pada masa hadapan supaya negeri tercinta ini terus maju setanding dengan negeri lain di Malaysia,” katanya.

–Hamzah Sanudin

About the author

Elle AB

Add Comment

Click here to post a comment