Home » Perjuangan Sarawak berlandaskan empat dokumen, tidak lebih tidak kurang – Abang Johari
Berita Dalam Negara Kerja Kosong

Perjuangan Sarawak berlandaskan empat dokumen, tidak lebih tidak kurang – Abang Johari

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap ketika merasmikan Program Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak 2023 Zon Kuching, di Hikmah Exhange, di Kuching,pada Sabtu. Foto: Faitullah Morni

KUCHING: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan perjuangan Sarawak berlandaskan kepada empat dokumen yang menjadi asas penting dalam mengembalikan hak dan keistimewaan negeri ini.

Beliau yang juga Premier Sarawak mendedahkan dokumen terbabit adalah Perlembagaan Malaysia, Perlembagaan Sarawak, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

“Parti kita (PBB) berdasarkan kepada empat perkara ini, tidak lebih dan tidak kurang. Pertamanya, Perlembagaan Malaysia iaitu (dokumen) yang berwarna oren manakala yang berwarna biru ini merupakan Perlembagaan Sarawak.

“(Dokumen) berwarna hitam merupakan Perjanjian Malaysia 1963 dan yang berwarna merah ini pula adalah (dokumen) Laporan Suruhanjaya Cobbold. Jadi kesemuanya ada empat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak 2023 Zon Kuching, di Hikmah Exhange, di sini pada Sabtu.

Turut hadir, dua Timbalan Presiden PBB; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Naib Yang Dipertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tegas Abang Johari lagi Majis Kepimpinan PBB diingatkan agar meneruskan perjuangan untuk mendapatkan hak dan keistimewaan Sarawak dengan fakta yang ada.

“Kita mempertahan hak negeri ini bukan kerana kita mempunyai semangat kedaerahan, bukan itu maksud saya.

“Kita (pertahankan) berpandu kepada empat dokumen, tidak lebih, tidak kurang. Maka pimpinan PBB hendaklah berjuang atas fakta yang ada,” ujarnya.

Ahmad Burhanuddin