Home » Cikgu Fadli dibebaskan sebarang salah laku
Berita Am Berita Dalam Negara

Cikgu Fadli dibebaskan sebarang salah laku

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan membebaskan guru Sekolah Kebangsaan (1) Gombak, Mohd Fadli Mohamed Salleh daripada sebarang salah laku, berikutan kritikan terbuka terhadap sistem pendidikan dan sukatan pelajaran.

Mohd Fadli berkata, beliau telah dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya melalui surat daripada Kementerian Pendidikan yang di siarkan menerusi laman sosial Facebooknya.

“Alhamdulillah saya telah dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan dan saya telah dibebaskan daripada sebarang tindakan tatatertib,” katanya.

Guru sekolah rendah itu baru-baru ini dikenakan tindakan kerana membangkitkan isu berkaitan perihal di sekolah dan terdapat khabar angin bahawa tindakan tatatertib boleh diambil terhadapnya, termasuk penurunan pangkat.

Kemudiannya, tular dalam media sosial mengenai surat daripada Kementerian Pendidikan yang mengesahkan Mohd. Fadli digugurkan kesemua pertuduhan dan dibebaskan daripada tindakan tatatertib.

Surat yang mengandungi dua muka surat itu menyatakan ketiga-tiga pertuduhan terhadap Cikgu Fadli digugurkan setelah Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan membuat pertimbangan dengan teliti menerusi mesyuarat yang diadakan.

Surat yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan, Datuk Yusran Shah Mohd. Yusof bagaimanapun tidak dipastikan kesahihannya, namun, tular dan dipetik dalam portal-portal berita tempatan

Isu itu bagaimanapun menarik perhatian perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa perkara itu diselesaikan melalui situasi menang-menang.

– UTUSAN