Home » Kepimpinan Gagasan Rakyat perlu sepakat bentuk kerjasama
Berita Tempatan Politik

Kepimpinan Gagasan Rakyat perlu sepakat bentuk kerjasama

Mizma berkata parti perlu bergerak dengan lebih agresif untuk mengukuhkan ahli-ahli cawangan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

LAHAD DATU: Barisan kepimpinan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) perlu mempunyai kesepakatan yang melangkaui intra-politik, kepentingan peribadi dan kesukuan bagi membentuk kerjasama di setiap kawasan.

Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Silam Mizma Appehdullah berkata, kesepakatan itu adalah salah satu daripada tiga usul yang dikemukan bagi manfaat rakyat dan mengukuhkan parti ini di seluruh negeri.

Katanya, perpecahan dan persengketaan tidak akan memberi manfaat kepada semua pihak, melainkan kemusnahan.

“Setiap individu terutamanya ketua sayap serta kepimpinan tertinggi bahagian perlu berjiwa besar untuk bekerjasama dan bermuafakat demi mencapai objektif yang disasarkan.

“Permuafakatan adalah teras utama pengukuhan perpaduan terutamanya Sabah yang terdiri daripada variasi keanekaan iaitu kira-kira 30 etnik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Silam yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, Datuk Abdul Hakim Gulam Hasan.

Menurutnya, perseteruan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat merupakan faktor utama keruntuhan sesebuah tamadun.

“Maka, penekanan terhadap pemerkasaan dasar inklusif perlu dilakukan bagi mencapai perpaduan yang utuh dalam usaha menperkuatkan parti,” katanya.

Mizma berkata, usul kedua yang dicadangkan adalah semua ahli perlu memberi fokus kepada pengukuhan parti menerusi penambahan ahli.

“Ia selaras dengan hukum politik iaitu tambah dan tolak ditentukan oleh sokongan majoriti pengundi yang mana jika semakin bertambah maka akan lebih kukuh,” katanya.

Katanya, parti perlu bergerak dengan lebih agresif untuk mengukuhkan ahli-ahli cawangan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pendekatan yang lebih ekstensif juga perlu dilakukan bagi mendapatkan sokongan daripada generasi muda dan memastikan mereka tidak diasingkan atau mengasingkan diri.

“Jika pendekatan politik menjadi suatu sensitiviti atau tidak menarik minat mereka, alternatif seperti pendekatan ekonomi dan sosial perlu digunakan untuk mendekati golongan ini,” katanya.

Mizma berkata, parti juga perlu merangka dan memacu gerak kerja yang strategik, efektif dan efisien untuk memikat hati rakyat.

“Kepimpinan di peringkat bahagian bertanggungjawab untuk merangka gerak kerja yang bersesuaian dengan sosiologi dan ekonomi masyarakat setempat.

“Pendekatan politik yang digunakan perlu mengambil kira aspek-aspek nilai sentimental, penyelesaian masalah dan sebagainya,” katanya.

Mizma turut berharap agar pihak kepimpinan tertinggi Gagasan Rakyat dapat membantu menangani masalah-masalah yang boleh menggugat kesejahteraan sosial masyarakat setempat.

Terdahulu, Abdul Hakim ketika merasmikan mesyuarat berkenaan berkata, penambahan keahlian dalam Gagasan Rakyat menjadi penanda aras positif tentang penerimaan rakyat terhadap parti tempatan.

“Saya mengingatkan ahli-ahli parti agar bergerak bersama, seiring melangkah menggapai matlamat yang sama dan saling memberi kekuatan,” katanya.

Hamzah Sanudin